
Tiada yang lebih membahagiakan bagi seorang wanita apabila hasrat untuk menurunkan berat badan tercapai. Penyanyi Datuk Aishah antara yang terkini berkongsi kegembiraannya apabila hasrat memakai baju kebaya tahun ini menjadi kenyataan.
Kekuatan lantunan vokal Datuk Aishah menjadikan barisan lagunya terus malar segar. Janji Manismu, Camar Yang Pulang, Syurga Di Telapak Kaki Ibu serta Tiada Lagi Tangisan antara senarai lagu yang masih segar di minda biarpun sudah melangkah ke tahun 2023.
Menerusi perkongsiannya di laman Instagram, penyanyi yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu pada tahun 1990, memuat naik sebuah gambar memakai sepasang baju lama yang sudah berusia 30 tahun.
Menurut Datuk Aishah, dia mengalami penyusutan berat badan selepas berpuasa selama 20 hari.
“Impian untuk memakai kebaya raya tahun ini tercapai (insya-Allah). Sebahagian dari taktik saya dalam my weight loss journey.
Selepas kena denggi hari itu, berat turun ke 58kg, kemudian naik sedikit ke 60kg semula. Selepas berpuasa 20 hari turun ke 57kg.
Saya berkemas-kemas terjumpa sepasang baju lama. Seriously baju ini sebahagian dari wardrobe perkahwinan saya pada tahun 1993.
Baju full lace berusia 30 tahun yang seingat saya dipakai di reception di Singapore. My goodness saya actually fitted the baju.” Datuk Aishah
BARIATRIK
Umum tahu bahawa Datuk Aishah tidak menyimpan rahsia tentang pembedahan bariatrik yang dilakukannya pada lima tahun lalu.
Hasil dari pembedahan tersebut, Juara Gegar Vaganza ke-4 (GV4) itu berjaya mendapat bentuk badan yang diidamkan. Namun, sehingga hari ini, hasil dari usahanya, Datuk Aishah sudah hilang sebanyak 50kg.
Ramai yang memuji dengan penampilannya yang terbaru ini dengan mengatakan bahawa Datuk Aishah tampak lebih sihat dan berseri.
Ada juga yang turut menjadikan perjalanan kisahnya sebagai sebuah inspirasi buat diri mereka.
Nak Cantik Semula Jadi Macam Wanita India, Amalkan Bahan-Bahan Ini Sebagai Petua

Kalau tengok aktres-aktres India kebanyakannya cantik-cantik belaka. Terutamanya kulit yang mulus, bersih dan sihat. Begitu juga rambut mereka yang panjang mengurai, lebat dan sihat. India mempunyai banyak petua kecantikan semula jadi yang terbukti berkesan.
Berdasarkan perubatan Ayurveda, rawatan kecantikan tradisional India menggunakan lebih banyak bahan semua jadi. Sebahagian daripadanya adalah herba yang mudah untuk diperolehi.
Berikut adalah rahsia kecantikan semula jadi wanita India yang sesuai untuk kulit dan rambut.
SERBUK CENDANA (Chandan)
Kayu cendana atau serbuk cendana ialah kayu aromatik yang dikisar halus. Serbuk ini sesuai untuk menyental. Dilaporkan oleh Boldsky, sifatnya adalah untuk membantu melambatkan penuaan serta melembutkan dan membersihkan kulit.
Caranya, campurkan serbuk cendana dengan susu, yogurt dan air mawar, kemudian gunakan sebagai skrub muka. Masker ini berguna untuk menyejukkan kulit dan mengecilkan pori-pori. Gosok perlahan-lahan selama 2 minit, kemudian biarkan selama 15 minit. Selepas itu, bilas dengan air sejuk.
KUNYIT (Haldi)
Kunyit sebagai salah satu ramuan rawatan kegemaran wanita India. Dilaporkan oleh The Huffington Post, kunyit mempunyai ciri anti-radang dan antiseptik yang baik. Antioksidan yang terkandung di dalamnya juga bagus untuk melawan tanda-tanda penuaan pramatang, jerawat, dan parut.
Masker kunyit digunakan secara meluas bagi merawat kulit yang terdedah kepada matahari. Muka dan badan pasangan pengantin turut dirawat dengan kunyit bagi menyerikan penampilan mereka di majlis perkahwinan. Selain diproses menjadi masker atau campuran lulur badan, kunyit juga diproses menjadi minuman kesihatan dan kecantikan.
AIR MAWAR (Gulabjal)
Bunga ros yang ditumbuk atau direndam ke dalam air mawar juga merupakan bahan semulajadi yang banyak digunakan dalam rawatan kecantikan di India. Mahkota mawar kaya dengan antioksidan dan vitamin C. Ciri utamanya adalah menyejukkan dan melembapkan kulit.
Menurut pakar dermatologi, Dr. Kally Papantoniou memberitahu laman web gaya hidup Bustle, air mawar juga sesuai untuk semua jenis kulit termasuk kering, sensitif dan jerawat. “Ia boleh melembapkan kulit, mempunyai sifat anti-mikrob semulajadi, dan mengandungi antioksidan semulajadi yang boleh membantu memulihkan dan mencegah kerosakan dan parut kulit.”
Air mawar biasanya digunakan sebagai campuran masker tradisional. Menurut blogger kecantikan India Shailja Vashisht, air mawar juga bagus untuk mencampurkan krim tangan dan mandian kaki buatan sendiri.
BUNGA RAYA
Menurut artikel yang dilaporkan oleh Vogue India, bunga raya sering digunakan untuk penjagaan kulit muka dan rambut. Bunga ini banyak dihasilkan di Kerala. Bunga ini kaya dengan Alphahydroxy Acids (AHA) dan asid amino. Kedua-dua bahan ini berkesan untuk menanggalkan sel kulit mati. Kandungan vitamin C dan emolien dalam bunga raya adalah berkesan seperti botox. Selain itu, khasiat dalam bunga raya dapat melembapkan kulit sekaligus mengurangkan lebihan minyak dalam pori-pori kulit.
Khasiat dari bunga raya yang digunakan sebagai masker membantu melancarkan peredaran darah di kulit kepala, mengatasi keguguran rambut dan merangsang pertumbuhan rambut. Hancurkan mahkota bunga raya, kemudian gunakannya untuk mengurut kulit kepala dengan kerap.
MINYAK KELAPA DARA
Dilaporkan oleh India.com, minyak kelapa dara juga termasuk bahan semula jadi yang dipercayai wanita India bagi merawat rambut kering dan rosak. Minyak kelapa biasanya digunakan untuk mencampurkan minyak rambut atau sabun untuk pelembap badan semula jadi. Minyak kelapa tulen atau Virgin Coconut Oil (VCO) kaya dengan pelembap semula jadi yang bagus bagi merawat rambut, kulit kepala kering, siku kasar, hingga tumit merekah.
DAUN NEEM
Aktres jelita Bollywood, Anushka Sharma percaya kecantikan kulitnya dengan masker semula jadi yang diperbuat daripada neem dan yogurt. Neem sering digunakan bagi rawatan kecantikan oleh wanita India.
Buah dan biji diekstrak menjadi minyak neem. Manakala bunganya digunakan sebagai ramuan aromaterapi dan minyak urut. Daun neem segar biasanya dikisar dan digunakan sebagai bahan kecantikan tradisional. Kadang-kadang daunnya dijemur di bawah sinar matahari dan dikisar menjadi serbuk.
Neem adalah herba yang mempunyai banyak khasiat. Tumbuhan ini mempunyai ciri anti-radang, anti kulat, dan antibakteria. Ciri-ciri ini menjadikannya berkesan bagis merawat pelbagai masalah kulit. Selain itu, neem juga membantu mencegah jerawat, pigmentasi, dan kulit berminyak.
DAUN INAI
Wanita India juga menggunakan inai sebagai pewarna rambut dan kuku. Sebagai pewarna rambut, inai yang diperbuat daripada tumbuhan lebih mesra rambut dan kulit kepala. Selain itu, inai lebih sejuk pada kulit kepala dan tidak pecah seperti pewarna rambut moden.
Kini Berusia 11 Tahun, Kecantikan RAJA NAZIRA SAFYA Curi Tumpuan Ketika Iringi Ayahanda, Sultan Nazrin

Sejak kecil lagi, Yang Teramat Mulia Raja Nazira Safya Binti Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ini sudah pun menjadi perhatian umum.

Memiliki raut wajah yang comel, kulit putih mulus dan senyuman yang menawan, sesiapa pun pasti akan terpesona.
Kini usia anakanda kedua yang juga puteri tunggal kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim ini sudah berusia 11 tahun. Begitu pantas masa berlalu, menghampiri usia remaja.



Raja Nazira Safiya memiliki seorang kekanda lelaki iaitu Raja Kechil Besar Perak Raja Azlan Muzzaffar Shah berusia 14 tahun.

Baru baru ini berlangsungnya acara Larian Hari Keputeraan Sultan Perak bertempat di Dataran Pavillion, Kuala Kangsar, Perak.
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diiringi anakanda, Raja Nazira Safya dan adinda, Raja Yong Sofia Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang mencemar duli berangkat menghadiri acara larian tersebut.


Paling menarik perhatian ramai adalah kemunculan anakanda baginda, Raja Nazira Safya yang semakin membesar.
Momen tersebut turut dimuat naik di media sosial dan rata-rata warga maya teruja dengan penampilan terkini Raja Nazira Safya serta memuji kecomelan baginda.
“Masya-ALLAH comel anakanda Sultan, daulat tuanku.”
“Daulat tuanku. Comelnya puteri baginda.”
“Comel dan cantiknya, daulat tuanku.”
4 FAKTA MENGENAI RAJA NAZIRA SAFYA
- Raja Nazira Safya dilahirkan di Hospital Pakar Damansara, Selangor pada 2 Ogos 2011.


2. Raja Nazira Safya merupakan cucunda kepada Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah dan Tuanku Siti Bainun binti Mohd Ali.
3. Raja Nazira Safya sentiasa menjadi perhatian kerana mewarisi darah campuran daripada Bondanya, Tuanku Zara Salim iaitu Inggeris (bapa) serta Melayu, Arab dan Siam (ibu).


4. Raja Nazira Safya kini menerima pendidikan di Alice Smith School, Kuala Lumpur.
Melangkah usia 40 Tahun, Wanita Sila Ambil Serius Perubahan Ini!

Pada usia memasuki 40 tahun tanda-tanda penuaan sebenarnya akan semakin jelas kelihatan. Perubahan ini lebih ketara pada bahagian kulit terutama wajah. Namun, ia tidak seharusnya menjadi satu bebanan, bukankah tanda-tanda ini mampu memberi kesedaran pada kita.
Antara artis wanita yang menyambut ulang tahun ke 40 tahun ini termasuklah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Maya karin dan Kate Hudson. Namun begitu, walaupun usia mereka mencecah 40 tahun, namun dek kerana penjagaan wajah yang menjadi amalan sejak zaman gadis lagi membantu mereka mengekalkan kejelitaan kulit.
Malah kini, ungkapan age is just a number boleh dijadikan panduan untuk kekal jelita walaupun usia sudah mencecah 40 tahun ke atas asalkan rutin penjagaan wajah diberi perhatian khusus.
Lagi pun mengapa perlu risau kerana di pasaran terdapat pelbagai produk yang membantu melambatkan tanda-tanda penuaan seperti berikut:
Kedutan dan garis penuaan
Dengan terjadinya penuaan,kedutan adalah tanda pertama yang paling jelas kelihatan dan harus diperhatikan. Biasanya ia mudah dialami oleh mereka yang memiliki kulit jenis kering.
Selain itu, di sekitar bawah mata akan mengalami garis-garis halus. Penebalan yang tidak sekata pada lapisan kulit ditambah pula kekurangan air pada lapisan bawah kulit akan mempercepatkan lagi proses kedutan pada kulit anda.
Kulit kusam
Kolagen bertindak menjaga kulit namun ketika proses penuaan berlaku urat semakin kendur dan kadar kolagen semakin menurun sekali gus menyebabkan kulit menjadi longgar dan tipis. Selain itu kulit akan kehilangan lemak dan jaringan. Lantaran itu, kulit menjadi kusam dan tidak bermaya.
Kulit kering
Kulit menghasilkan sebum sendiri bagi melindungi dan mencegah kehilangan kelembapan kulit. Namun, seiring dengan bertambahnya usia, keupayaan kulit menghasilkan sebum semakin berkurangan sekali gus menyebabkan kulit mudah rapuh dan kering terutama di bawah sinaran matahari yang terik.
Ditambah pula dengan keadaan cuaca yang sejuk, iklim yang kering dan berangin mudah menjadikan kulit anda bersisik dan mudah menimbulkan rasa gatal.
Bintik hitam
Peningkatan usia sekali gus menyebabkan kulit seseorang turut mengalami perubahan. Antaranya, bintik-bintik coklat pada kulit kita pun akan mula timbul atau juga dikenali sebagai bintik-bintik hitam terutama di bahagian wajah.
Pada tahap awal bintik-bintik tersebut berwarna terang, namun pada akhirnya bintik-bintik tersebut akan berubah menjadi warna coklat sekali gus menjadi masalah pada kulit anda. Hal ini disebut dengan penuaan semula jadi.
Bintik-bintik ini juga boleh menyebabkan masalah ketika anda menyapu solekan pada wajah. Ia biasanya berlaku disebabkan pendedahan diri secara berterusan kepada sinaran ultra ungu atau terdedah pada sinaran matahari dalam tempoh yang lama tanpa menggunakan topi atau krim pelindung kulit wajah.
Liang-liang roma terbuka
Faktor genetik dan usia antara dua faktor utama yang membolehkan pori-pori atau liang-liang roma pada kulit membesar. Kebiasaannya, ia berlaku kepada mereka yang memiliki kulit tebal dan berminyak.
Terdedah lama pada sinaran matahari, kotoran, bakteria dan keanjalan kulit menurun juga antara faktor menyebabkan liang-liang roma membesar dan terbuka.
Tip untuk kekal muda
1. Lindungi kulit wajah daripada sinaran matahari antara langkah terbaik untuk mencegah kulit dari mengalami masalah penuaan lebih awal. Pakai krim pelindung cahaya matahari atau pelembap dengan SPF 28 atau lebih setiap kali anda berada di luar mahupun di dalam bilik berhawa dingin.
2. Merokok dapat menyempitkan pembuluh darah, yang mana dapat menurunkan aliran darah selain mengurangkan perjalanan oksigen dan nutrisi ke sel-sel kulit. Ia juga menyebabkan kulit anda menjadi kusam selain timbul bintik-bintik coklat.
Merokok juga menyebabkan proses penghasilan kolagen lambat pada kulit anda. Jadi, untuk mendapatkan kulit yang sihat dan bercahaya, berhenti merokok.
3. Gunakan pelembap anti-penuaan, ia membantu meningkatkan kapasiti air pada kulit. Selain itu, Vitamin A yang turut membantu dalam menjaga kulit yang terhidrasi. Pastikan anda mendapat vitamin A dari makanan seperti keju, ikan Kod dan telur.
4. Penggunaan kosmetik juga dapat membantu memperbaiki tekstur kulit. Garis-garis halus dan kulit kedut dapat ditingkatkan dengan memperbaiki permukaan kulit (resurfacing) melalui kaedah dermatologi, pengelupasan kimia (chemical peeling), laser atau mikro dermabrasi.
Peeling juga dapat membantu untuk meratakan warna kulit dan memperbaiki tekstur kulit.