Lama rasanya kita tidak mendengar khabar berita dari pelakon jelita Zahida Rafik yang cukup terkenal suatu ketika dahulu menerusi filem Mami Jarum, Senario The Movie, Anak Mami The Movie dan banyak lagi. Selain bakatnya yang cukup terserlah, Zahida juga antara pelakon veteran yang cukup dikenali dengan kejelitaan wajahnya.
Manakan tidaknya, menganjak usia 47 tahun Zahida dilihat tetap Anggun, mempersona dan awet muda. Ini boleh dilihat menerusi satu hantaran terbaru dari Zahida, menyaksikan Zahida berkongsi beberapa keping gambar satu sesi pengambaran di mana Zahida menyarung persalinan putih berupa ‘jumpsuit’ yang cukup bergaya sekali, namun tidak dapat dipastikan tujuan pengambaran tersebut diadakan.
Dengan kepsyen ‘ jadi nurse moden’, nyata hantaran tersebut mendapat perhatian ramai pihak terutama sekali peminatnya yang terkesima dengan kejelitaan Zahida yang merupakan pelakon berdarah kacukan Melayu–Pakistan tersebut.
Meninjau di ruangan komen, ramai peminat yang memuji kecantikan Zahida yang langsing seakan tidak dimamah usia Malah, ada yang berseloroh mahu menjadi pesakit setiap bulan jika mempunyai ‘jururawat’ secantik pelakon dan bekas model itu.
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mata merupakan organ yang mempunyai keistimewaan yang sukar digambarkan melalui kata-kata. Melalui mata, seseorang individu dapat melihat keindahan dunia ciptaan Allah dan sudah sewajarnya deria istimewa ini memerlukan perhatian yang sebaiknya.
Mata sememangnya antara organ kompleks yang cukup besar maknanya kepada setiap manusia. Sejak berzaman, kita mendengar orang menyebut kata indah iaitu ‘dari mata turun ke hati’. Walaupun mata cukup penting, namun ramai yang terlupa beberapa perkara sensitif berkait mata apatah lagi semasa Perintah Kawalan Pergerakan ini, mata terlalu terdedah di skrin komputer, kaca televisyen dan gajet.
NONA mendapatkan pandangan dari Pakar Oftalmologi (MATA) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Maimunah Abdul Muna’aim mengenai penjagaan mata terutamanya di kalangan kanak-kanak di saat mereka lebih banyak menghabiskan masa di hadapan skrin komputer dan laptop sama ada untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mahupun bermain permainan komputer.
DR MAIMUNAH ABDUL MUNAI’AIM
NONA: Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, ramai ibu bapa dan anak-anak terdedah pada gajet untuk urusan kerja dan belajar secara online. Apakah kesan jangka pendek dan panjang sekiranya terlalu terdedah di hadapan skrin?
DR MAIMUNAH: Memandangkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) pastinya masa perlu di isi dengan aktiviti yang berfaedah. Di zaman berteknologi tinggi sudah pasti anak-anak lebih arif dengan penggunaan gajet. Tugasan yang diberi oleh guru sekolah juga dibuat melalui Google Classroom, kahoot dan aplikasi belajar secara maya. Tidak kurang juga gajet digunakan untuk bermain permainan atas talian dan menonton video. Aktiviti fizikal agak terhad apabila berada di dalam rumah.
Kesan jangka pendek,jika melihat skrin atau melakukan kerja sekolah atau pejabat secara berterusan, anak-anak atau ibubapa itu sendiri akan terdedah dengan gejala “digital eye strain” di mana mereka akan merasa tidak selesa, mata kering dan kesat, mata rasa cepat penat, pedih, berair, penglihatan kabur dan pening. Ini daripada akibat mata kurang berkelip kerana asyik melihat gajet. Selain itu ada sesetengah daripada anak-anak kecil akan kerap mengelipkan mata tanpa disedari untuk menghilangkan rasa tidak selesa itu. Ibu bapa akan mula perasan dengan tabiat mata berkelip itu. Anak-anak juga mudah menjadi agresif jika ibu bapa melarang mereka bermain gajet.
Manakala kesan jangka panjang pula dapat dilihat apabila sepanjang tempoh PKP ibubapa dan anak-anak dikehendaki berada di dalam rumah untuk memutuskan rangkaian Covid 19 ini. Kita dapati penggunaan gajet telah digunakan dalam tempoh masa yang lebih lama berbanding hari biasa. Risiko pada anak-anak kecil jika berada di dalam bangunan untuk jangka waktu yang lama dan kurang pendedahan kepada cahaya matahari akan mengurangkan paras hormon dopamine di dalam saraf retina, dan menyebabkan bola mata membesar dengan tidak terkawal, dan seterusnya menyebabkan rabun jauh.
Kajian mendapati kanak-kanak yang mempunyai rabun jauh mempunyai dopamine yang rendah berbanding kanak-kanak berpenglihatan normal. Dopamine merupakan tindakbalas kimia yang dihasilkan oleh tubuh apabila terdedah kepada cahaya matahari. Ia didapati bertindak untuk merencatkan proses pemanjangan bola mata yang menjadi antara punca rabun jauh. Selain daripada itu penggunaan gajet juga akan menyebabkan regangan bebola mata turut berlaku apabila proses akomodasi berlaku pada masa yang lama. Ini juga akan menyebabkan pemanjangan bola mata dan menyumbang kepada peningkatan kuasa rabun jauh pada kanak-kanak.
Cahaya biru pada skrin gajet menghasilkan gelombang biru yang bergelombang rendah tetapi bertenaga tinggi. Cahaya biru ini dapat menembusi kornea mata, kanta mata sehingga ke bahagian saraf retina mata. Sekiranya seseorang terdedah terhadap cahaya biru pada skrin gajet secara berterusan dan berpanjangan kajian menunjukkan ia akan memberi kesan jangka panjang yang boleh merosakkan sel saraf mata dan meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit degenerasi makula.
NONA: Apakah saranan terbaik untuk ibu bapa had waktu gajet untuk anak-anak?
DR MAIMUNAH:Sebagai ibubapa, pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengajar anak-anak mengehadkan waktu bersama gajet. Menurut garis panduan American Academy of Pediatrics 2016, bagi kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke bawah tidak digalakkan mengunakan gajet, bagi umur 2-5 tahun hendaklah di hadkan kepada 1 jam sehari dengan program yang berkualiti. Manakala bagi umur 6 tahun ke atas hadkan kepada 2 jam sehari tetapi dengan pengawasan rapi daripada ibu bapa. Tetapkan undang-undang setiap 20 minit untuk berhenti sebelum diberikan gajet kepada anak-anak, boleh setkan loceng ‘alarm’ di telefon bimbit sebagai ingatan untuk berehat, selain itu ibu bapa juga boleh beri ganjaran jika anak-anak mematuhi peraturan.
Bagi memastikan kita menggunakan gajet secara berhemah anda dinasihatkan untuk mengamalkan beberapa amalan ini:
Saya sarankan jika anda tinggal di rumah yang ada halaman, supaya galakkan anak-anak bermain atau bersenam ringkas di depan rumah bagi mendedahkan mereka dengan cahaya matahari untuk merangsang hormone dopamine, tapi jangan sampai keluar daripada halaman rumah, bagi yang tinggal di flat atau apartmen anda boleh menikmati cahaya matahari daripada balkoni rumah.
NONA:Pada pandangan Dr,apakah aktiviti yang boleh dilakukan untuk merangsang minda anak-anak kecil dan mengelakkan mereka dari pengaruh gajet?
DR MAIMUNAH: Banyak lagi aktiviti dan perkara yang boleh digunakan untuk mengisi waktu lapang anak kecil selain gajet. Sebagai ibu bapa kita perlu bijak menentukan alternatif tersebut. Aktiviti mewarna, melukis membina lego, membaca buku antara perkara yang boleh di lakukan bersama-sama. Selain itu bermain monopoly, sahiba dan catur juga boleh merangsang minda anak- anak. Permainan tradisional seperti congkak juga amat digalakkan. Untuk anak-anak yang lebih kecil, bermain “kinetic sand” untuk sensori dan skill sosial adalah bagus untuk perkembangan mereka.
Bagi yang bersekolah rendah, ibu boleh mengajak untuk mencuba resepi baru, masak bersama-sama, kemas rumah bersama-sama.Jika bapa pula boleh mengajak anak bercucuk tanam secara kecil-kecilan contonhya dengan cara hydrophonic, membasuh kereta bersama-sama, bermain ping pong di dalam rumah semasa dalam PKP ini juga amat menyeronokkan. Bagi Muslim pula mungkin boleh bertadarus bersama-sama atau boleh buat cabaran menghafal surah-surah pilihan bersama keluarga.
NONA: Kaum lelaki juga suka melekat bermain permainan Computer Game. Bagaimana nak hadkan masa penggunaan dan cadangan terbaik untuk elak mata dari rosak?
DR MAIMUNAH: Kaum lelaki khususnya para suami seharusnya perlu bijak mengawal diri daripada terus melekat dengan gajet. Mereka perlu mengawal diri untuk tidak terlibat dengan permaianan atas talian yang berunsur keganasan, Selain itu mereka perlu menghindarkan diri daripada membeli permainan atas talian yang dirasakan memberi unsur negatif kepada diri. Mereka harus bijak mengurus masa dengan baik jika mahu terlibat dalam permainan atas talian ini. Para suami boleh berbincang dengan isteri waktu yang sesuai untuk bermain, seelok-eloknya bermain selepas isteri siap kerja rumah kerana suami boleh membantu menjaga anak-anak. Selain itu untuk mengeratkan lagi hubungan suami isteri mungkin kedua-dua boleh bermain bersama-sama jika semua kerja rumah telah siap dan pastikan anak-anak tidak terabai semasa bermain permaianan atas talian ini.
Cara terbaik untuk mengelak mata rosak hendaklah mengamalkan peraturan 20/20/20, menggunakan “filter” sinaran lampu biru, untuk elak rasa tidak selesa titiskan pelembap mata jika merasa mata kering, menjaga pencahayaan semasa bermain dan juga boleh melakukan senaman ringkas pada mata semasa rehat. Di sini ada beberapa teknik senaman mata yang boleh dilakukan.
KEBAIKAN TEKNIK SENAMAN MATA
TEKNIK 1-KERDIPAN MATA
TEKNIK 2- TEKNIK ANGKA LAPAN
TEKNIK 3- ‘PALMING’
Teknik 4: Penumpuan dekat dan jauh
TEKNIK 5- ZOOMING
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Akibat terlalu kerap menangis ketika melakonkan babak sedih dalam filem ‘Surat Kecil Untuk Tuhan’, Bunga Citra Lestari dikesan mengalami masalah eyebag yang teruk. Ia menyebabkan kecantikan aktres Indonesia ini sedikit terjejas kerananya,
Selain menangis, tabiat susah tidur, tekanan, alahan, faktor keturunan, water retention dan sebagainya merupakan antara punca masalah eyebag atau kantung mata di kalangan wanita.
Jika wanita popular seperti Bunga Citra Lestari pun tidak boleh lari daripada masalah eyebag, tentu kita sebagai wanita biasa pun selalu dihantui masalah yang sama. Nah, jangan runsing. Selain kuasa solekan, anda juga boleh menghilangkannya dengan petua berikut.
(a) Kuning telur + lemon
Campurkan sebiji kuning telur, sesudu madu dan sedikit perahan lemon kemudian bancuh bahan tersebut sampai sebati. Sapukan di bahagian eyebag sebelum tidur dan cuci keesokan harinya.
(b) Minyak badam
Minyak badam baik untuk mengurangkan kesan eyebag kerana mengandungi vitamin E yang tinggi. Caranya, sapu di sekeliling mata sebagai pelembap sebelum tidur. Petua ini juga membantu meratakan tona kulit di bawah mata agar kelihatan tidak kusam.
(c) Uncang teh
Selepas merendam teh, uncangnya jangan dibuang. Basuh sampai bersih dan sejukkan di dalam peti ais selama 10-15 minit. Kemudian tekapkan uncang pada bahagian mata selama 15 minit sama ada sebelum atau selepas bangun tidur.
(d) Kentang
Kentang mengandungi enzim yang membantu mencerahkan kulit wajah. Cara menggunakannya, cuci kentang dan hiris kepada beberapa keping. Tekapkan hirisan ini di bahagian eyebag selama 10-20 minit sama ada sebelum dan selepas tidur.
(e) Timun
Petua yang tak pernah mengecewakan. Hiris timun menjadi kepingan bulat kemudian letakkan di kawasan eyebag selama 15 minit. Petua ini boleh dilakukan setiap hari dan ia juga bagus untuk merehatkan mata yang pedih. Selamat mencuba! Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Baru-baru ini, pelakon dan penyanyi cantik Fatin Afeefa berkongsi satu hantaran di Instagram bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-31 tahun.
Meniti usia yang matang, Fatin dilihat kekal istiqamah berhijab dan memberi tumpuan penuh terhadap keluarga.
Dalam hantaran itu, Fatin tersenyum manis di samping jambangan mawar kuning. Cantiknya!
Terserlah sisi kematangan Fatin pada usianya yang genap 31 tahun pada 13 Julai 2024 yang lalu.
Fatin juga dilihat semakin tenang dan bahagia dengan kehidupan terkininya yang lebih ‘privasi’ setelah mengambil keputusan meninggalkan dunia lakonan dan nyanyian.
Keputusannya itu juga adalah bagi menghormati permintaan suami, Aliff Awang atau terkenal dengan panggilan Opai yang mahu dirinya menjadi Muslimah serta isteri dan ibu yang terbaik buat anak-anak.
Menurut pemilik nama penuh, Fatin Nur Afifah Shamsudin ini dia hanya akan keluar sebulan sekali atas urusan kerja.
Katanya, dia tidak merasa ralat meninggalkan dunia lakonan dan nyanyian. Apa yang penting bagi Fatin ialah doa dan restu suami.
Fatin juga pernah memberitahu kini dia lebih suka berada di rumah kerana merasa lebih tenang dan tiada tekanan mahupun gangguan.
Pada masa yang sama, Fatin dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keluarga. Anak-anak pun membesar depan mata.
Fatin turut mencuri perhatian ramai apabila tampil dengan imej berhijab. Kian terserlah kecantikan Fatin apabila menutup aurat dengan sempurna.
Menganggap dirinya masih belajar, Fatin turut memohon orang ramai agar mendoakan kebaikan buat dirinya dan keluarga.
Menurut pelakon filem Tentang Bulan ini dia mahu memperbaiki diri dan menjadi insan yang lebih baik. Fatin mahu menjaga batas pergaulan sebagai seorang Muslimah.
Untuk info, Fatin dan Aliff mendirikan rumahtangga pada Disember 2022 dalam sebuah majlis tertutup di Subang Jaya.
Terdahulu, Fatin pernah berkahwin dengan pelakon Adam Shahz pada 21 Disember 2013 namun bercerai pada 30 Mei 2017.
Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ivy Herra Sophia yang kini berusia 10 tahun.
Semoga Fatin Afeefa kekal istiqamah dan bahagia bersama keluarga tersayang.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.