
Merafak sembah setinggi-tinggi tahniah buat KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas penerimaan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam Kepimpinan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pengiktirafan itu diberikan pada istiadat konvokesyen khas sempena sambutan ulang tahun ke-40 UIAM yang disampaikan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merangkap Ketua Perlembagaan UIAM.
Penganugerahan itu juga merupakan salah satu penghargaan kepada Seri Paduka Baginda yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Julai 2019 di atas kepimpinan Seri Paduka Baginda yang bersama-sama dengan rakyat memimpin negara di saat seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19.
Seri Paduka Baginda berbesar hati dengan penganugerahan tersebut dan melihat ia bukan hanya untuk pencapaian diri Seri Paduka Baginda, tetapi juga mengiktiraf nilai dan peranan rakyat Malaysia.
Terdahulu, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bercemar duli menghadiri Majlis Konvokesyen Khas Bersempena Sambutan Ulangtahun ke-40 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 20 Mei 2023.
Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda berdua, KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga dan alumni UIAM sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-40.
Seri Paduka Baginda berdua mendoakan semoga UIAM sentiasa dilimpahi kecemerlangan yang berterusan dan warga serta alumninya sentiasa di bawah rahmat dan lindungan Allah SWT.
Menjunjung Kasih Tuanku!
Sumber & Kredit Foto: FB House of Pahang
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Kereta Tak Bergerak Atau Jalan Tak Lebih 10km Ketika PKP, Hadam 5 Perkara Ini

Sejak PKP ini kita memang digalakkan untuk duduk di rumah. Tetapi ketua keluarga dibenarkan untuk keluar rumah namun tidak boleh melebihi 10 kilometer. Mungkin juga ada yang tidak keluar langsung kerana menggunakan perkhidmatan penghantaran barang atau pembelian atas talian saja.
Bagaimana pula dengan kereta kita? Memandangkan pusat servis dan bengkel tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh ini, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk memastikan kereta anda kekal berada dalam keadaan baik sepanjang PKP. Apa yang paling penting adalah lakukan pemeriksaan 5-mata pada kereta.
1. Cecair/Bendalir
Cecair di dalam kereta memainkan peranan penting bagi hampir kesemua aspek termasuklah kecekapan, prestasi dan penjimatan bahan api. Dengan memastikan cecair pada kereta berada pada paras optimum, ia akan membantu melancarkan pemanduan anda. Terdapat lima jenis cecair yang perlu diambil kira iaitu minyak pelincir, cecair penyejuk, minyak brek, cecair stereng berkuasa serta cecair pencuci cermin hadapan.
Bahagian yang paling penting ialah minyak pelincir. Komponen yang berada di dalam enjin akan berputar beribu-ribu kali dalam masa satu minit, dan minyak pelincir inilah yang akan membantu melancarkan putaran tersebut. Bagi memastikan minyak pelincir mencukupi, hampir kesemua kereta akan dilengkapi batang celup atau dipstik di bahagian enjin yang biasanya berwarna kuning dan pemegangnya kelihatan seperti cincin. Matikan enjin terlebih dahulu, tarik batang celup, lap sisa minyak dengan kain bersih, dan ulangi sekali lagi untuk mendapat bacaan yang tepat.
Seterusnya, fungsi cecair penyejuk adalah untuk menghalang enjin daripada terlalu panas dengan memindahkan haba dari enjin ke radiator. Kebiasaannya bekas cecair penyejuk adalah berwarna putih dan jenis telus, terletak di bahagian depan ruang enjin untuk memudahkan memeriksa secara visual paras cecair penyejuk di dalamnya.
Selain itu, cecair penting lain ialah cecair brek yang bertanggungjawab menggerakkan pelbagai komponen sistem brek kereta anda. Paras cecair brek mudah untuk diperiksa. Cari penutup berwarna putih di bahagian belakang yang berdekatan dengan kabin kereta. Sekiranya penutup tersebut adalah jenis telus, ia akan lebih mudah untuk diperiksa, dan jika sebaliknya, anda hanya perlu membuka penutup untuk melihat paras cecair di dalam bekas tersebut. Pastikan enjin kereta dimatikan dan keadaan kereta tidak panas sebelum membuka penutup.
Sistem stereng kuasa juga memainkan peranan penting. Kebanyakkan kereta masa kini dilengkapi dengan sistem stereng kuasa hidraulik yang membantu menjadikan pemanduan jauh lebih mudah walau dalam apa jua kelajuan. Untuk memeriksa cecair stereng, cari reservoir di ruang enjin. Selalunya ia mudah dilihat kerana penutupnya akan dilabelkan sebagai “Power Steering”. Jika tiada sebarang label, cari ikon stereng. Sesetengah kereta mempunyai reservoir separa telus yang akan memudahkan anda memeriksa paras cecairnya sementara sesetengah kereta yang lain pula mempunyai batang celup yang terlekat di penutup.
Akhir sekali, cecair pencuci cermin hadapan juga jangan dilupakan. Pastikan ia diisi agar cermin hadapan kereta anda dapat dibersihkan untuk memberi anda pandangan yang lebih jelas.
Sekiranya cecair berkurangan, isi semula cecair tersebut tetapi jika anda tidak tahu bagaimana untuk melakukannya, kunjungilah ke mana-mana pusat servis setelah tempoh PKP berakhir.
2. Bateri
Bateri kereta memainkan peranan penting untuk menghidupkan komponen elektrik di dalam kereta. Selain menghidupkan enjin kereta secara berkala untuk memastikan alternator mengecas bateri, kita juga perlu memastikan pengapit bateri dipasang ketat, bersih dan tidak berkarat.
Pemeriksaan bateri secara fizikal juga penting untuk mengetahui sekiranya terdapat sebarang keretakan. Pertama, anda perlu memeriksa sama ada terdapat bonjolan pada permukaan bateri. Selepas itu, periksa pengapit bateri untuk melihat kesan-kesan hakisan.
Catat tarikh anda menukar bateri pada buku panduan pemilik. Sebagai alternatif, jika anda mempunyai voltmeter di rumah, anda boleh memeriksa voltan bateri. Bacaan di bawah 14v semasa enjin dihidupkan bermakna bateri anda lemah. Seeloknya, periksa alternator anda jika bacaan lebih rendah daripada itu.
3. Lampu
Perkara seterusnya yang perlu anda periksa adalah lampu. Pastikan lampu depan, lampu belakang, lampu brek dan lampu isyarat berfungsi sebelum anda memulakan pemanduan. Satu cara mudah untuk memeriksa lampu belakang adalah dengan meletakkan kereta berdekatan dengan dinding dan gunakan cermin pandang belakang untuk melihat sama ada lampu berfungsi dengan baik. Sekiranya terdapat mana-mana lampu yang tidak terang, ganti mentol di pusat servis terdekat selepas tempoh PKP berakhir.
4. Tayar
Tayar kereta adalah sama seperti sepasang kasut dan sekiranya dijaga dengan rapi, ia akan memastikan keselamatan anda dan kenderaan lain di jalan raya. Perkara pertama yang perlu diperhatikan adalah jika terdapat sebarang rekahan, koyakan atau lekukan. Pada masa yang sama, perhatikan sekiranya terdapat bahagian tayar yang kekurangan angin. Sekiranya ada, anda perlu mengepam tayar tersebut. Tetapi, lakukan hanya jika anda benar-benar perlu keluar untuk mendapatkan barang keperluan.
Seterusnya adalah tekanan tayar anda. Sebaiknya, periksa tekanan tayar menggunakan tolok tekanan tayar. Tekanan tayar yang betul boleh didapati di dalam buku panduan atau di tepi pintu pemandu. Tekanan tayar yang disyorkan adalah berbeza untuk setiap kereta. Bahaya sekiranya anda menggunakan tayar dengan tekanan yang terlalu rendah atau terlalu tinggi kerana ia akan menjadi punca kehausan tayar yang tidak rata dan anda perlu menukar tayar dengan lebih cepat.
Perkara lain yang perlu dititikberat adalah bebenang tayar. Setiap tayar dilengkapi dengan indikator bunga-haus yang terletak di antara blok bunga. Berfungsi membantu anda memantau kehausan tayar tersebut, penunjuk ini dijarakkan secara rata dan diletakkan selari dengan alur. Sekiranya ia dilihat separas dengan penunjuk, maka sudah tiba masa untuk anda mengganti tayar baharu.
5. Bilah pengelap
Pengelap cermin hadapan yang berfungsi dengan baik akan dapat memastikan keselamatan anda di jalan raya. Semakin kerap kita menggunakannya, ia akan secara beransur-ansur menjadi keras dan merekah, menyebabkan terdapat garis-garis yang akan mengaburi penglihatan ketika memandu. Untuk mengetahui sama ada bilah pengelap anda berfungsi dengan baik, anda boleh hidupkan fungsi pengelap, sebaik sahaja anda menyedari pengelap tidak memberikan sapuan yang jelas malahan meninggalkan garisan atau mengeluarkan bunyi, ini bermaksud anda perlu menukarnya sebaik sahaja tempoh PKP tamat.
Selain mengangkat bilah pengelap tersebut sekiranya kereta anda diparkir di bawah terik matahari, anda juga boleh membersihkan bilah tersebut dengan tuala lembap untuk menghilangkan kotoran atau minyak untuk memastikan ia boleh digunakan dalam tempoh masa yang lebih lama.
Itu sahaja yang dapat dikongsikan. Panduan ini dapat memastikan setiap komponen penting pada kereta anda dapat berfungsi dengan baik dan dalam pada masa yang sama untuk memastikan keselamatan anda, keluarga, serta pengguna jalan raya yang lain, tanpa mengira tempoh PKP atau pada bila-bila masa.
Baru Berusia 35 Tahun Dah Miliki TUDUNG BAWAL RM50,000 Bukti Wanita Malaysia Kaya-Raya!

Wow, ternganga tengok harga tudung bawal ini! Boleh beli sebuah kereta tu. Sejak berita mengenai tudung keluaran Bawal Exclusive ini didedahkan semalam, pelbagai reaksi orang ramai dan warganet bertebaran di media sosial. Ada yang meluahkan rasa kagum… tidak kurang juga yang menzahirkan rasa kurang senang kerana nilainya yang dikatakan terlalu tinggi untuk sehelai tudung.
Penyerahan tudung bawal berwarna hitam yang bertatahkan butiran kristal mewah Swarovski tersebut sekaligus memecahkan rekod Bawal Exclusive tahun lalu bernilai RM33,000. Dan lebih mengejutkan… pemilik Bawal Exclusive sendiri mengakui, tempahan seterusnya dari Lahad Datu, Sabah bakal mengatasi harga tudung bawal terkini yang dianggarkan mencecah RM65,000! Kaya-raya wanita Malaysia hari ini.
“Alhamdulillah… selepas Allah turunkan hujan. Allah hadirkan pelangi, hari ini cipta sejarah jenama Bawal Exclusive terjual dengan harga RM50, 000 sehelai. Setiap hari pula pengunjung tidak putus-putus, dari buka butik sampailah ke petang. Semoga saya terus bersemangat dalam menempuh apa jua dugaan demi pelanggan-pelanggan yang saya kasihi,” doa pemilik Bawal Exclusive, Haliza Maysuri.
Mengulas mengenai tudung ‘viral’ berharga RM50,000 yang mula ditempah sejak Februari lalu… Haliza berkata, “Tudung ini menggunakan lebih 10 warna kristal mewah yang dibuat sepenuhnya sekumpulan pereka Swarovski dari Austria direka berteraskan rekaan dan personaliti pelanggan.
Ilham fantasi wujudnya kuntuman bunga mekar di padang pasir Sahara menterjemahkan kegigihan pemiliknya yang berusia 35 tahun. Pemilik seorang ahli perniagaan perusahaan berasaskan minyak dan gas. Tempahan hanya dilihatnya selepas siap dan diterbangkan ke negara ini.”
Dalam sidang media yang diadakan semalam, Haliza hadir menyerahkan tudung berkenaan kepada pemilik butik byQiss by Bawal Exclusive di Kuantan, Pahang iaitu Datin Hamizan Puteh sebelum diberikan kepada pelanggan. Hadir sama, Pengarah Penjualan Swarovski Profesional Malaysia, Zoe Toe.
Tambah Haliza lagi, tudung Bawal Exclusive kebiasaanya diperbuat daripada fabrik voile dari Jepun yang direka khas mengikut cita rasa pelanggan bermula dari awal pemilihan rekaan sehinggalah ke sentuhan terakhir. Segala urusan dikendalikan secara panggilan video dengan pereka di Austria.
“Harga RM50, 000 ini termasuk kos pereka professional dan logistik dari Austria serta nilai berpadanan kerana Bawal Exclusive boleh diwarisi dari generasi ke generasi,” ujarnya yang memiliki 10 butik fizikal dan 35 wakil ejen jualan di seluruh negara.
Hebatnya penangan tudung Bawal Exclusive. Patutlah ramai golongan VVIP menggemari jenama ini. Selain rekaan yang eksklusif dan menarik, ia juga berkualiti tinggi sampai dipakai dari generasi ke generasi.
Biarpun ada komen nakal tentang harga bagi helaian tudung ini… namun jika dilihat dari sudut positif, penghasilan tudung mewah jenama Bawal Exclusive membuktikan keupayaan luar biasa kaum wanita di Malaysia.
Iyalah, Haliza Maysuri selaku pemilik Bawal Exclusive secara tidak langsung menjadi sumber inspirasi kepada pengusaha hijab yang lain kerana kejayaannya ‘menghidangkan’ sesuatu yang unik dan mewah kepada pelanggan.
Begitu juga pembeli tudung berusia 35 tahun tersebut yang menunjukkan pada usia masih muda, beliau mampu memiliki tudung yang bersamaan harga sebuah kereta ini. Gabungan kedua-dua wanita hebat berkenaan jelas mencerminkan kemampuan wanita Malaysia yang tidak sekadar komited dengan pekerjaan yang dilakukan bahkan mampu memiliki apa jua yang diinginkan hasil kerja keras mereka selama ini. Sebagai wanita, kita seharusnya berbangga dengan kejayaan kedua-duanya!
Kredit foto: Bawal Exclusive
“Banyak Yang Murah Tapi Kita Tak Tahu Sejauh Mana Kualitinya” Dato’ Hussamuddin Seru Beli Pelitup Muka Suci & Bersih!

Seperti makanan, begitu jugalah pentingnya mencari keberkatan melalui pelitup muka yang diyakini suci dan bersih pembuatannya. Apatah lagi sejak pemakaiannya diwajibkan setiap hari, masyarakat harus lebih bijak memilih yang berpatutan tapi berkualiti untuk menangkis jangkitan virus COVID-19.
Sepagi di Kumpulan Media Karangkraf bersama Pengarah Urusan Kumpulan, Dato’ Hussamuddin Haji Yaacub, Nona didedahkan tentang realiti pelitup-pelitup muka di pasaran negara.
“Kebanyakan pelitup separuh muka yang dijual murah, sama ada secara online atau di kedai-kedai runcit, berkemungkinan tidak menepati ciri medical grade yang sebenar.
Atau boleh jadi, ia tidak dibuat dalam suasana clean room. Cuba bayangkan pekerja di sana mungkin membuat pelitup muka kita tanpa sarung tangan, dengan tangan tidak dibasuh atau dihasilkan di belakang-belakang premis yang meragukan.
Akhirnya mask yang ‘diharapkan’ mencegah kuman dan bakteria, jadi sebaliknya pula. Sudahlah kualiti materialnya rendah, disusun pula pakai tangan (tanpa sarung tangan). Awal-awal lagi dah tercemar sebelum sampai ke pengguna,” katanya dalam nada kesal.


LANCAR PELITUP MUKA KARANGKRAF
Tambah Dato’ Hussamuddin lagi, pembuatan pelitup muka yang baik merupakan permulaan usaha beliau dalam mencegah penularan COVID-19. “Saya terpanggil untuk menghasilkan produk pelitup muka Karangkraf melalui jenama Karangkraf Medicare bagi mengisi pasaran pelitup muka yang suci dan benar-benar bersih di negara ini.”
Pelitup muka Karangkraf setakat ini telah mencapai standard ujian parameter EN14683:2019. Ujian yang dijalankan oleh Eurofins Lab ini membuktikan pelitup muka Karangkraf Medicare mencapai tahap penapisan tinggi dengan BFE ≥98% dan PFE ≥95%, sekali gus melayakkan pelitup muka yang dihasilkan mencapai gred MEDICAL.



Tagline ‘Suci dan Bersih’ diguna pakai sebagai langkah bagi memperkuatkan lagi jenama pelitup muka Karangkraf Medicare. Malah, Karangkraf Medicare diperakui mempunyai ruang pembuatan yang bersih dan terjamin dari segi pembuatannya.
Istimewanya, pelitup muka Karangkraf Medicare ini terletak pada ‘Hygiene Case’ yang didatangkan bersama set Karangkraf Plus.
Tujuan utama diperkenalkan ‘Hygiene Case’ ini adalah untuk memberi kesedaran kepada orang awam betapa pentingnya menjaga kebersihan pelitup muka di samping mendidik masyarakat agar sentiasa mengamalkan cara penyimpanan dan pembuangan pelitup muka yang betul.
PENGILANGAN SUCI & BERSIH
Bagi membuktikan kebersihan produk yang baru dilancarkan ini, Nona telah dibawa melawat ke kilang pembuatan pelitup muka Karangkraf Medicare di Shah Alam. Dari pintu masuk lagi, proses kebersihan dikawal ketat dan setiap petugas perlu disanitasi dari hujung rambut ke hujung kaki.
Mereka kemudiannya perlu memakai sut PPE yang dikhaskan sebelum ke stesen tugas masing-masing. Inilah yang menjamin kebersihan produk yang dihasilkan.
Material 3 ply yang digunakan juga adalah yang terbaik dan diyakini di pasaran iaitu PP Non Woven (dari China) dan Melt-Blown (dari Jepun). Ia mempunyai keupayaan menapis bakteria sehingga melebihi 98% dan zarah-zarah virus sehingga 95%.
Pelitup muka Karangkraf Medicare kini sedang bekerjasama dengan SIRIM untuk mencapai pensijilan produk spesifikasi.
Di pasaran, pelitup muka Karangkraf Medicare ini didatangkan dalam dua set iaitu set KARANGKRAF dan set KARANGKRAF PLUS.
Set KARANGKRAF:
- Mempunyai 30 keping pelitup muka dalam satu kotak.
- Ada 6 pilihan ‘design’ kotak.
Set KARANGKRAF PLUS:
- Mempunyai 10 keping pelitup muka dalam satu kotak.
- Ada 6 pilihan ‘design’ kotak.
- Disertakan bersama 10 keping ‘Hygiene Case’. Setiap pelitup muka dipek dengan teliti di dalam ‘Hygiene Case’ yang berasingan.
- Ada 6 ‘design’ ‘Hygiene Case’ (diberi secara rawak di dalam setiap kotak).
Pelitup muka Karangkraf kini boleh didapati secara online di www.karangkrafmall.com (klik sini) atau boleh datang sendiri ke Karangkraf Mall di Seksyen 15, Shah Alam.