“Saya menangis dalam peti sejuk beku dan tanpa sedar pintu tertutup. Bila terasa kenapa badan makin sejuk melampau, saya lihat pintu tertutup. Nasib baik, staf cari saya dan salah seorang buka peti tersebut dan lihat saya dah membiru. Saya berterima kasih pada hinaan seorang hamba Allah kerana pengalaman itu membuatkan saya SAYA BERAZAM untuk jadi usahawan berjaya dan kaya!” bicara Nur Hati.
Berusia 40 tahun, Nur Hati Amran merupakan pengasas pelbagai jenis kudapan cookies serta sambal yang diinovasikan mengikut kreativiti sendiri. Beliau adalah pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan dan pernah menjadi wakil tunggal IKS Mersing ke peringkat Negeri Johor pada tahun 2010.
“Tanpa kenal erti putus asa, saya berusaha keras untuk melihat produk Eijaz Food Industry berada di dalam supermarket. Usaha itu akhirnya tercapai walaupun tidaklah sebesar mana apabila produk kami berjaya menembusi beberapa mall.
Menitik air mata kerana saya adalah IKS kecil jika nak dibandingkan syarikat gergasi yang lain. Momen paling sedih dan membuatkan saya menangis ketika hantar barang ke mall, semua syarikat pakai lori besar-besar untuk turunkan barang berbanding kami hanya menggunakan kenderaan biasa.
Bila anak sulung saya berkata, “InsyaAllah, suatu hari nanti syarikat mama pasti ada lori, sikit aje lagi mama…” Berjurai air mata saya menangis, sebak saya dibuatnya. Saya benar-benar berjuang sendiri tanpa mana-mana dana bantuan pinjaman untuk sampai ke tahap ini.
Saya juga amat bersyukur kerana boleh berada sebaris jenama makanan yang hebat di mall. Bagi saya, ini kejayaan terbaik buat syarikat Eijaz Food Industry walaupun masih banyak yang perlu kami perbaiki dan pelajari.
Berjaya memasuki pasaran mini market dan kedai-kedai runcit, niat saya agar semua orang boleh rasa serta mampu membeli pelbagai jenis sambal mama dengan harga ekonomi RM1, insyaAllah,” ujar Nur Hati.
Ads
Terus berbicara, “Saya pernah bekerja sebagai kerani data banci di Muar, Johor. Waktu itu saya duduk rumah sewa di Sungai Abong bersama empat adik-adik penyewa lain. Saya paling dewasa dan disebabkan suka niaga, saya ajak adik-adik rumah sewa buat bisnes jual karipap. Mereka setuju, itu pun setelah dapat izin dari pegawai atasan untuk jual waktu rehat sahaja.
Bermulalah operasi kami berniaga karipap yang habis laris dijual. Tak cukup itu, balik kerja jam 5 petang, saya dan rakan serumah bekerja sambilan di restoran makanan segera untuk cari duit lebih, kami nak sambung belajar dan ambil lesen kereta.
Dipendekkan cerita ada satu peristiwa yang buat saya menangis. Sewaktu saya sedang ambil order, tiba-tiba saya ditengking kerana pelanggan itu mahu cepat. Dia marah dengan kata-kata kesat dan menghina. Saya lari ke belakang dan kebetulan peti sejuk beku itu terbuka. Cepat-cepat saya berlari masuk, menangis dalam peti sejuk beku tanpa sedar pintu tertutup.
Tiba-tiba saya sedar bila rasa kenapa badan makin sejuk melampau. Saya nampak pintu tertutup dan mula cemas. Nasib baik rakan-rakan cari saya dan salah seorang buka peti tersebut. Waktu tu saya dah membiru.
Ads
Saya berterima kasih pada hinaan seorang hamba Allah kerana di saat itu saya mula berazam untuk jadi usahawan berjaya dan kaya. Macam-macam dalam fikiran bermain dalam otak kepala saya ketika itu sebab terlalu geram.
Hasil niaga karipap di pejabat pula saya beli cincin emas, saya beli 4 bentuk buat setiap adik-adik yang sama berniaga sebagai tanda kenangan kami bersama.
Pengalaman bekerja sambilan sampai kejang kaki dan bangun sebelum Subuh untuk buat karipap. Namun semua kenangan masa muda ini, menjadi saya lebih matang untuk meneruskan kehidupan,” cerita Nur Hati sambil tersenyun sendiri.
Setahun kemudian Nur Hati menerima tawaran sebagai guru ganti di sebuah sekolah rendah. “Seronok teringatkan kenangan lalu, bila anak murid datang ke kereta untuk bantu kita angkat buku. Mereka suka lihat cikgu sebab berkasut tinggi, dari jauh dah dengar saya catwalk.
Ads
Jika dulu mengajar tidak sama dengan sekarang, kami tidak dibenarkan pakai kebaya tapi saya pakai juga. Peristiwa menarik di sini saya disukai oleh seorang murid tahun 6 dalam diam, kantoi bila diari pelajar tersebut telah diserahkan oleh rakannya kepada guru lain, kecoh! Mulai saat itu, saya takut dan pakai baju kurung, tetapi tetap setiap hari saya dapat bunga, banyak cawan dan coklat walaupun baju kurung.
Pengajaran di sini bukan sebab baju tapi bersikap baiklah pada pelajar. Anggap mereka seperti kawan kerana akhirnya mereka akan sayang cikgu tanpa paksaan,” Nur Hati ketawa sendiri mengimbas kenangan mencuit hati.
“Seterusnya saya ambil PJJ dan pada masa yang sama dapat jawatan tetap sebagai pembantu guru. Namun tak lama selepas itu, saya letak jawatan kerana saya lebih suka berniaga. Waktu itu saya bersalin anak sulung dan mula fokus bisnes andaman dan spa pada awal pembabitan saya dalam dunia perniagaan.
Saya ada dua butik andaman dan sebuah spa. Setelah dua perniagaan kecantikan ini kukuh, saya buka kilang kecil di kawasan kampung di Johor dengan hanya lima pekerja kerana hobi saya suka memasak. Di sini bermulalah proses membuat popia mini udang bersira, di atas nama Ai Food. Alhamdulillah berjaya.
Ketiga-tiga perniagaan berjaya sehingga keuntungan seminggu mencecah RM12,000, saya memiliki rumah banglo pada usia 26 tahun dan punya van syarikat yang dibayar tunai. Saya rasa ketika itu adalah kemuncak kejayaan saya dalam berniaga. Dalam keindahan menikmati detik mewah ketika itu, bermulalah ujian besar dalam hidup saya…”
Ikuti sambungan kisah Nur Hati di bahagian 2…
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kerjaya sebagai seorang peguam sememangnya menjadi dambaan ramai wanita kerana kerjaya tersebut mempunyai auranya yang tersendiri. Bagi Datin Dr Nik Sarina Hashim, setelah beberapa tahun memilih karier dalam bidang perundangan, siapa sangka pintu hatinya terbuka untuk membuka perniagaannya sendiri.
Dek kerana minat dalam bidang perniagaan menjadi asbab mengapa Datin Dr. Nik Sarina Hashim sanggup melepaskan jawatan sebagai peguam setelah bertahun lamanya berkecimpung dalam kerjaya tersebut. Sekaligus, mengasaskan SLAE Cosmetics.
“Setelah banyak menguruskan produk-produk di bawah jenama tempatan di bawah amaxMALL, saya memasang impian untuk mengeluarkan jenama sendiri. Memandangkan saya suka kepada kecantikan, apatah lagi produk berasaskan kosmetik, maka lahirlah SLAE Cosmetics.
Produk kosmetik SLAE Cosmetics mementingkan kualiti dan datang dalam pembungkusan yang menarik berunsurkan alam semulajadi. Nama itu diperolehi setelah sekian lama memerah otak memikirkan nama yang bersesuaian dan menarik untuk penjenamaan produk SLAE dan juga what it stands for,” ujar Datin Dr Nik Sarina yang juga penerima NONA BEST PROFESSIONAL BEAUTY AWARD.
Berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Kings College London serta Sarjana Perbankan (Undang-Undang) dan Doktor Falsafah dalam Islamic Finance, wanita inspirasi ini pernah bertugas sebagai Majistret dan Timbalan Pendakwa Raya serta peguam sebelum menceburkan diri dalam dunia perniagaan.Segala pengalaman yang pernah dilaluinya dijadikan inspirasi untuk memastikan jenama kosmetik yang diasaskannya mampu bersaing bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.
“Entah macam mana, bila sudah lama bekerja dalam bidang perundangan, hati ini teringin pula nak ada sebuah bisnes sendiri. Maka, bermulalah titik tolak saya dalam bidang perniagaan kosmetik,” katanya hadir ke studio Ideaktiv baru-baru ini.
SLAE Cosmetics menggunakan tagline The Makeup For Work ini menjadikan wanita berkerjaya sebagai inspirasi dalam menghasilkan produk kosmetik yang menggunakan bahan semulajadi, bebas alkohol, tiada parabendan wangian sekaligus sesuai untuk digunakan seharian.
Berkongsi mengenai cabaran yang dilalui sepanjang mengasaskan SLAE Cosmetic, Nik Sarina yang kini menggalas tanggungjawab sebagai pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat memberitahu persaingan adalah lumrah dalam dunia perniagaan.
“Pada pandangan saya, setelah memulakan perniagaan kosmetik ini, masalah penghantaran barang oleh pihak ketiga menjadi cabaran pertama. Kadang-kadang penghantar kurang prihatin bahawa apa yang dihantar ialah amanahnya sebagai penghantar dan mereka perlu memastikan bungkusan dikendalikan dengan cermat,” katanya.
Tambah Nik Sarina lagi, pada tahun 2023 SLAE bakal melancarkan pelbagai rangkaian produk demi memenuhi keperluan dan permintaan pelanggan yang semakin menggemari produk di bawah jenamanya.
“Harapan kami bukan setakat menjalankan perniagaan secara fizikal tetapi juga melakukan jualan ke negara secara luar secara dalam talian, InsyaAllah”, ujarnya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Gabungan dua beradik dengan misi dan visi yang sama akhirnya melahirkan jenama kecantikan pilihan wanita moden. Bermula dengan hanya memfokuskan produk kosmetik di bawah jenama Trulooks, kemudian berjinak-jinak dalam produk penjagaan wajah maka terhasilah set penjagaan wajah Truskin yang halal serta premium.
BERMULANYA SATU LEGASI
“Kami bermula dengan modal sendiri yang kecil tanpa bantuan atau pinjaman institusi perbankan. Pada mulanya, ia sangat sukar untuk bertapak dan mencipta nama dalam pasaran. Kekurangan dana dari badan-badan kewangan juga menjadi cabaran dalam usaha mengembangkan perniagaan. Namun dengan usaha dari perih jerih sendiri, kini kami mampu berkembang dan bertahan hampir 7 tahun sehingga ke hari ini”, ujar Pengasas dan Pengarah Syarikat Trulooks Global Snd Bhd, Dr.Adibah Abd Bari memulakan bicara.
Mengimbas bagaimana bermulanya legasi Trulooks, Adibah dan adiknya Julia memang sudah dari awal bijak meniaga dan mencari peluang. “Sejak dari sekolah menengah, kami dah mula berniaga. Ibu bungkus kacang, kami berdua jual di sekolah. Kemudian, kami sering kali ke Kuala Lumpur dari Perlis, menaiki bas ke Jalan Tar ambil kain pasang untuk dijual pada pensyarah dan kawan-kawan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Trulooks, Julia Lah.
Dengan masing-masing memiliki kelulusan dalam bidang perniagaan, Adibah yang mempunyai Phd dalam jurusan Keusahawanan dari UUM, Kedah, manakala Julia pula graduan Diploma Pengajian Perniagaan, meniaga sememangnya dah sebati dalam diri walaupun Adibah pernah berkhidmat sebagai bidang perbankan sekitar tahun 2008, namun hanya bertahan selama 2 tahun.
“Saya kurang gemar bekerja dengan orang. Suka mencari duit lebih, tak suka dikongkong dan inginkan masa untuk sendiri. Lantas kami berdua fokus kepada beberapa buah perniagaan antaranya membuka restoran dan butik pakaian. Namun kedua-duanya kurang mendapat sambutan, jadi kami terpaksa memikirkan strategi lain dan come out dengan pelan perniagaan yang baru,” ulas ibu kepada 3 orang cahaya mata ini.
Selepas mengkaji dan membuat penyelidikan, mereka berdua akhinya membuat keputusan untuk memasar dan menjual produk kosmetik selepas melihat trend peningkatan permintaan dalam pasaran Korea dan Amerika.
“Rakyat Malaysia selama ini suka membeli produk make-up dari label luar negara. Jadi ketika itu kami merasakan sudah tiba masanya jenama kosmetik ciptaan bumiputera dengan kualiti antarabangsa. Jadi kami bermula dengan mengeluarkan produk kosmetik dulu seperti makeup base, eye shadow dan lain-lain di bawah Trulooks. Pelanggan sasaran kami adalah wanita yang suka bersiap, jurusolek dan mereka yang baru menjinakkan diri dalam bidang kecantikan. Selepas beberapa tahun, barulah kami yakin untuk melancarkan produk penjagaan wajah pula iaitu Truskin.”
Di samping itu, Trulooks iaitu nama gabungan perkataan Bahasa Melayu iaitu “Melalui Kecantikan” turut menitikberatkan tentang keselamatan pengguna disamping kepuasan dan keberkesanan sesuatu produk yang dihasilkan. Kerjasama dan kesefahaman pihak ahli kimia dan pihak Truskin sangat perlu dalam menghasilkan produk yang berkualiti, menepati standard yang ditetapkan dan semestinya halal. Akhirnya setelah enam tahun dalam pasaran, jenama Truskin dibawah rangkaian Trulooks berdiri megah di billboard Jalan Duta, dan sepanjang lebuhraya Utara ke Kuala Lumpur.
“Penghasilan produk kami melalui beberapa proses dan ujian makmal klinikal dan perlu melepasi setiap saringan sebelum dipasarkan. Walaupun kos penyelidikan memerlukan kos tinggi, namun pihak kami akan memastikan produk yang dipasarkan dijual dengan harga yang berpatutan. Saingan produk-produk di pasaran juga asbab kami meningkatkan lagi penguasaan R&D bagi menonjolkan keunikan produk kami terutama sekali Truskin”, jelas Adibah atau lebih mesra dipanggil Mom Deeba.
Mengimbas kenangan di awal bergemulang dalam bidang perniagaan, sudah pasti adanya mata memandang sinis dan mulut mencaci.
“Kami pernah dipandang rendah oleh segelintir individu yang ingin menjatuhkan perniagaan kami namun pandangan negatif yang mereka tujukan tidak pernah menjejaskan perjuangan kami. Produk tak boleh dipercayai, timbang kilo dan lain-lain. Malah ada yang mempersendakan penampilan kami yang dikatakan tidak layak dan setaraf bergelar pengasas kecantikan namun ia tidak pernah mematahkan semangat kami.”, akui Julia lagi.
Baca artikel penuh penerima NONA Best Halal Skincare Award di majalah NONA edisi Januari 2023 yang sudah pun berada di pasaran.
Teks: Wan Mohd Firdaus
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kagum melihat semangat juang wanita yang sudah tujuh tahun berniqab ini. Walaupun masih muda namum kejayaan milik Nurul Diana Mohd Pudzi bukan calang-calang. Memulakan perniagaan hanya bersandarkan alasan mahu menanggung kos sara hidup semasa di kolej telah menukar persepsinya dalam bidang yang penuh cabaran ini.
Wanita yang dilahirkan 28 tahun lalu ini benar-benar bersyukur dan megah dengan kejayaan miliknya kini. Menjadi pengasas produk kecantikan dan kesihatan bukan suatu angannya ketika kecil. Namun, aturan dari Yang Maha Esa adalah yang terbaik dan sebaik-baik Perancang.
“Saya bukan orang senang dan ‘degil’ untuk meneruskan pengajian di kolej. Setiap hari makan mi segera bukan suatu yang asing bagi saya ketika itu. Demi kelangsungan hidup sebagai pelajar saya perlu buat sesuatu dan timbul idea cuba menjual produk kosmetik.
Ketika itu saya langsung tak ada modal namun kuatkan hati dengan mengambil pre-order. Saya ‘jual’ di Facebook, orang order dan terus buat bayaran. Bayaran pelanggan itu saya guna untuk beli produk kemudian baharu dipos. Tak sangka dalam masa seminggu, saya dah mula ada ‘pendapatan’,” ujar wanita berkelulusan Diploma Perbankan Islam, Politeknik Sultan Idris Shah, Selangor ini.
Walaupun ketika itu keuntungan yang dimiliki oleh wanita yang mesra di sapa Dian ini bukan besar, sekadar cukup untuk menampung kos sara hidupnya sebagai pelajar namun tak pernah lupa menghulurkan wang kepada mak ayah di kampung halaman. Mungkin ini yang dikatakan berkat ‘sedekah’ dengan mak ayah sendiri, rezeki akan mencurah-curah tanpa disangka-sangka.
“Saya meneruskan jualan ini sehingga ke semester akhir pengajian dan pendapatan tertinggi yang pernah saya terima mencecah RM20 ribu sebulan,” ujar ibu kepada dua orang anak ini yang gigih dan pantang menyerah.
Selepas menamatkan pengajiannya wanita ini nekad menghasilkan produk atas jenama sendiri. Bersandarkan pengalaman berniaga di atas talian maka lahirkan produk yang diberi nama Dianz. “Saya keluarkan produk topeng muka (mask).
Ketika itu topeng muka begitu popular sebagai produk penjagaan kulit. Saya mencipta kelainan sedikit dengan menghasilkan topeng muka berwarna ungu berbanding dengan topeng muka yang banyak di pasaran dengan warna putih dan hitam.
Rezeki tak pernah salah alamat, dalam masa lapan bulan saya memperoleh keuntungan mencapai RM1 juta. Jualan saya memang 100 peratus bergantung kepada Facebook semata-mata, tidak ada laman sesawang mahupun platform digital yang lain,” terang Dian yang bangga mampu berkongsi rezeki dengan membawa 13 orang ahli keluarga menunaikan umrah melalui hasil titik peluhnya sendiri.
Sehingga kini jenama Dianz menumpukan pengeluaran produk suplemen iaitu Dianz Vitamin Premium dan Dianz D’Honey Skin Booster. “Bagi memastikan pelanggan dapat menikmati hasil yang terbaik, setiap produk Dianz memiliki sijil Kementerian Kesihatan Malaysia (Farmasi) dan mempunyai Sijil Halal,” kata Pengasas Dianz ini.
Tahun ini sahaja jenama Dianz berdiri megah di 50 papan iklan di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS Highway). Di samping itu, Dianz juga boleh dilihat di 40 buah badan bas Rapid KL terpilih serta troli di 9 buah pasar raya besar Tesco dan Mydin yang terpilih.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!