
Makin meningkat usia, makin berjaya Dato’ Hans Isaac. Kalau sebelum ini namanya dikenali sebagai pelakon, pengarah dan penerbit kini jejaka berusia 51 tahun berkenaan turut terkenal sebagai ahli politik.
Kian melebarkan sayap dalam pelbagai bidang, kredibiliti bintang filem Persona Non Grata ini terus menyerlah dan diterima ramai.
Dato’ Hans Isaac atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac menyertai parti politik Pakatan Harapan (PH) sekitar tiga tahun lepas. Pada awal pembabitannya dalam pentas politik, dia mengakui ramai tidak bersetuju dengan tindakan tersebut namun kini segalanya berubah.



Apatah lagi selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 yang juga pemimpin dari blok PH sendiri. Turun padang menjayakan kempen Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ini bagaimana pun hanya menggalas jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Selain komited membantu meringankan beban masyarakat kurang bernasib baik sepanjang menyertai politik, Dato’ Hans juga berhasrat untuk sama-sama membangunkan negara.
Tiga tahun berjuang bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Hans turut memenangi jawatan sebagai Ketua Cabang Ampang pada Julai lalu selepas pemilihan kedua menewaskan pencabar terdekat, Altimet.



Setelah berjaya mencipta nama sebagai anak seni dan pengarah, Dato’ Hans menambah satu lagi portfolio sebagai ahli politik yang semakin dikenali ramai.
Kemampuannya tidak sekadar dalam industri seni dan politik bahkan Dato’ Hans turut mencuba potensi diri sebagai usahawan restoran yang dikenali sebagai YARL. Sebuah restoran yang menyajikan hidangan Sri Lanka.
Khabarnya Restoran YARL sudah pun mempunyai empat cawangan iaitu di Brickfields, Heritage Row, Taman Tun Dr Ismail dan Ampang.


“Jom layan salah satu restaurant Yarl saya kat Ampang Jaya. Makanan semua halal. Makan Sri Lanka ni ada banyak vegetarian tapi ayam, ikan dan mutton pun ada. Kena try sekali baru tahu guys.
Yarl Ampang starting 2023 we open 7 days a week, 8 am till 10 pm. Makanan halal dan sedap. A clean restaurant / washrooms as well. Do try out Apam Ice Cream as well.”
Dato’ Hans sebelum ini pernah terlibat dalam pelbagai drama dan filem termasuk Baik Punya Cilok, Cuci, Lemak Kampung Santan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pernah Digelar Joan Collins Malaysia, YAM Tengku Puteri Dato’ Sri Hajah Zahariah Punya Aura Luar Biasa!

Puteri raja yang optimis dan merendah diri. Riang dan murah dengan senyuman. Hari ini dalam usia 60-an, YAM Tengku Puteri Dato’ Sri Hjh Zahariah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj melalui jalan kehidupan dengan tenang dan sederhana.
Membesar dalam perkarangan istana, puteri raja Selangor Darul Ehsan ini sememangnya arif perihal protokol dan mempunyai keperibadian tinggi sejajar dengan setiap langkah yang diaturnya.
Kala berbicara, tidak ada sekelumit pun riak meninggi diri meskipun hidupnya sarat dengan kemewahan. “Walaupun saya dibesarkan dalam istana tetapi Al-Marhum ayahanda membenarkan saya untuk berkawan dan bermesra dengan rakyat biasa yang lain, tiada halangan.
Sememangnya prinsip saya dari dahulu tiada istilah menunjuk-nunjuk atau meninggikan diri. Bagi saya kita perlu layari hidup ini dengan saling hormat-menghormati, berbicara sopan dan sentiasa berbudi bahasa dengan sesiapa sahaja.

Almarhum ayahanda dulu pernah berpesan, ketulusan hati itu adalah penting dan perlu pandai membawa diri agar perjalanan hidup ini mudah pada masa hadapan. Dengan keikhlasan akan membuatkan keyakinan orang lebih tinggi kepada kita. Tanpa keikhlasan, maka semua yang kita lakukan akan terasa berat dan tidak bernilai di sisi Allah.
Berusahalah untuk selalu menanamkan sikap ikhlas di dalam jiwa. Apabila kita sudah bisa bersikap ikhlas, kita akan merasakan kebahagiaan yang sebenarnya,” ujar Tengku Puteri Zahariah.
Perjalanan kehidupan kini. “Setelah melalui pelbagai cabaran hidup, saya sentiasa bersyukur dengan perjalanan hidup yang telah ditakdirkan buat saya. Segala-galanya saya lalui dengan tenang dan sabar.
Sekarang saya tidak lagi sibuk dalam bidang perniagaan atau politik, hanya menghabiskan quality time bersama keluarga dan cucu-cucu kesayangan, selain daripada pergi bercuti dalam dan luar negara.
Saya hanya ingin menikmati saat gembira ini sebaik mungkin dan sebolehnya tidak mahu hidup dalam ketegangan fikiran yang boleh membuatkan kita bersedih dan sebagainya.
Bicara Tengku Puteri Zahariah yang pernah dikatakan sebagai Joan Collins Malaysia, “Itu semua cerita dulu yang menjadi sejarah dalam perjalanan hidup saya. Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang telah terjadi dan bersyukur dengan apa yang saya miliki hari ini.

Waktu itu, orang boleh kata apa sahaja pada diri saya tetapi yang melalui susun alur kehidupan ini, saya sendiri bukan mereka. Paling penting, ketika darah ini masih muda dan rancak, saya suka mengikuti perkembangan fesyen selebriti barat. Diri sendiri terbawa-bawa meniru gaya penampilan mereka dari hujung rambut sampai ke hujung kaki.
Itu semua dulu, sekarang dalam usia begini saya senang dengan pilihan busana yang ringkas, sopan, longgar dan selesa. Hanya jika saya menghadiri majlis keramaian, tentu sahaja yang lebih glamor dan elegan menjadi pilihan. Bagi saya, stail itu hadir daripada kebijaksanaan kita mencampurkan gaya walaupun barang itu tidak semestinya mahal.
Namun tidak dinafikan yang barang berjenama mahal itu tentu sahaja datang dengan kualiti tinggi dan baik. Apa pun, semuanya terpulang kepada kemampuan dan cara kita menggayakannya,” jelas Tengku Puteri Zahariah.

Rahsia kecantikan
Wajah Tengku Puteri Zahariah cantik manis dan kulit putih gebu, apa rahsianya? “Saya bangga dengan usia saya sekarang, tidak perlu berselindung. Dengan teknologi moden yang ada sekarang, siapa sahaja boleh dapatkan rawatan kulit wajah terbaik dan menggunakan krim yang sesuai pada diri anda.
Paling penting, mestilah mengikut kemampuan masing-masing juga. Selain itu, sejak kecil hingga sekarang saya mesti makan buah-buahan dan jus setiap hari, selain banyakkan pengambilan sayur dan salad. Amalan lain mungkin sama sahaja seperti orang lain, minum air secukupnya. Dan sebelum tidur saya pastikan minum air bersama madu dan limau, banyak khasiatnya,” katanya yang tidak menafikan solekan juga memainkan peranan yang penting untuk mencantikkan raut wajah seseorang.
Cita-cita Tengku Puteri Zaharaih yang tidak kesampaian, “Saya sebenarnya mempunyai diploma dalam bidang flower arrangement sewaktu berada di England. Saya suka menggubah bunga dan harapan tinggi untuk membuka sebuah kedai florist bila pulang ke Malaysia.
Tetapi sayangnya hajat itu tidak kesampaian kerana sebagai puteri Sultan, Almarhum Ayahanda tidak menggalakkan saya untuk berniaga ketika itu. Sekarang dalam usia begini, tidak mungkin saya menceburi dunia perniagaan bunga lagi, walaupun kemahiran yang pernah saya belajar dulu masih lagi segar dalam ingatan,” katanya sambil tersenyum manis.
Bicara terakhir Tengku Puteri Zahariah, siapa wanita yang menjadi inspirasi dalam hidup? “Saya mengagumi Ratu Rania sebagai seseorang wanita yang bijak dan sangat cantik. Rania di lihat sebagai seorang ratu yang tidak mensia-siakan pangkat dan pengaruhnya begitu saja apabila sering terlibat dengan kerja amal dan penambahbaikan pendidikan serta kesihatan di Jordan.
Saya melihat keperibadiannya yang mulia, sentiasa merendah diri, tidak menunjuk kekayaan, lemah lembut dan bijak daripada segi penampilan. Rania sering dilihat menggayakan etika berpakaian dengan begitu menarik di setiap majlis dihadiri. Kebijaksanaannya dalam menggabungkan gaya tradisional dengan sentuhan yang lebih segar membuatkan Ratu Rania sentiasa kelihatan elegan dan menawan.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pendapatan 6 Angka & Ada Koleksi Banglo Mewah, AISHAH RADHIAH Tak Kesal Pilih Kerjaya Jurujual!

Luar biasa pencapaian dan rezeki yang dikurniakan kepada Aishah Radhiah Adanan. Pada usia 34 tahun dia memiliki keluarga bahagia, kerjaya yang hebat, kereta dan rumah mewah. Bahkan hampir semua impiannya selama ini sudah berjaya direalisasikan. Tumpang bangga dengan kejayaan usahawan wanita ini!
Akui makin tenang dan optimis merencana masa depan, Aishah yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) tidak menyangka keputusan untuk beralih kerjaya daripada jurutera kepada jurujual nyata berbaloi. Walau terkilan kerana keputusan tersebut tidak mendapat restu ibu bapa namun wanita kelahiran Negeri Sembilan ini yakin dengan kemampuan diri dan mampu membanggakan keluarga satu hari nanti.
Mesra ditemu bual Nona, Aishah bersyukur diberi peluang untuk berkongsi kisah kejayaan sebagai pembakar semangat buat lebih ramai wanita. “Saya berasal dari Seremban. Ayah, Adanan Abu Bakar seorang ibu dan ibu, Azizah Kassim pula bekerja sebagai kerani. Saya pernah jadi guru tuisyen dan bertugas sementara di Tekla iaitu sebuah syarikat pereka struktur ketika masih belajar di UTP.


Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Kelana Seremban. Kemudian memasuki sekolah berasrama penuh di Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah dan terus melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda di UTP. Saya pernah ditawarkan bekerja sebagai jurutera bidang offshore di PETRONAS namun kerana kecintaan saya terhadap bidang perniagaan, saya tinggalkan.”
Biarpun meminati bidang perniagaan namun Aishah tidak sesekali mengabaikan pengajian. Baginya pendidikan tetap menjadi keutamaan apatah lagi kedua-dua ibu bapa sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada anak kedua daripada empat beradik ini.
“Saya mula berniaga sewaktu sedang menjalani praktikal Petronas selama 8 bulan. Bermula sebagai part time agen jualan, saya bahagikan masa untuk buat jualan pada malam hari dan hujung minggu. Selepas habis praktikal dan sambung semula kuliah, saya sanggup berulang-alik ke Kuala Lumpur setiap hujung minggu untuk bekerja di tapak promosi.
Kadang-kadang pasukan kami menyertai expo jualan di luar kawasan seperti Kuantan, Ipoh dan banyak lagi. Memang saya akan turut serta kerana minat mendalam berniaga dan mula nampak hasilnya. Namun semua saya lakukan tanpa pengetahuan ibu bapa yang sangat berharap saya menjadi jurutera berjaya,” dedah Aishah yang mengagumi kepimpinan usahawan terbilang negara, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Bergelar isteri kepada Mohd Ikbal Hassan dan ibu enam anak, Aishah percaya kerjaya sebagai agen jualan mampu memberi pendapatan lumayan jika dia serius dengan pekerjaan tersebut. Berkat usaha gigih, tawakal dan berserah kepada Yang Maha Esa, kini Aishah berjaya meraih pendapatan hingga enam angka!
“Kerjaya ini tidak memerlukan pendidikan yang tinggi tetapi cukup dengan modal kegigihan yang tinggi untuk berjaya. Saya tinggalkan kerjaya jurutera Petronas kerana saya merasa kerja jurujual dan seterusnya bergelar pengurus jualan lebih membentuk peribadi saya di samping dapat pendapatan lebih lumayan yang saya sendiri tentukan.
Memiliki pendapatan 6 angka di Coway membuatkan saya boleh membeli apa yang saya impikan termasuk memiliki beberapa banglo tepi laut yang menjadi impian saya sewaktu kecil.
Pada mulanya saya hanya membeli sebagai koleksi namun memikirkan rumah yang tidak berpenghuni, saya dan suami mengupah pasukan perhotelan untuk menguruskan rumah kami dan menjadikannnya resort percutian mewah peribadi MIHARA Villa. Mereka menguruskan semuanya tanpa saya perlu memikirkan soal pengurusan dan pemasaran.”
Tatkala ditanya jumlah koleksi banglo mewah yang sudah menjadi miliknya, Aishah dalam nada rendah diri mengakui sudah berjaya membeli lebih daripada 10 kediaman mewah. Luar biasa!

“Pendapatan yang lumayan mendorong saya lebih rancak menambah koleksi rumah mewah untuk dijadikan resort percutian peribadi. Saya sangat bersyukur kerana pada usia seperti ini, saya boleh memiliki apa yang saya inginkan. Antaranya dapat melancong ke seluruh dunia, menginap di hotel-hotel bertaraf dunia, memiliki beberapa buah koleksi banglo mewah dan memandu kereta mewah seperti BMW, Mercedes dan Lotus.
Kalau ditanya impian yang masih belum tercapai, saya mahu menjadi manusia terkaya di atas muka bumi. Saya yakin boleh mencapainya kerana saya meminta pada Yang Empunya segalanya. Jika Dia memberikan pada orang itu, Dia juga akan memberikannya kepada saya.”
Dalam usaha meraih kesenangan hidup, Aishah tidak lupa tanggungjawab sebagai anak dan menjadikan ibu bapa selaku pencetus semangat. “Ibu bapa saya adalah pembakar semangat untuk kaya dan berjaya. Saya mahu ‘memanjakan’ mereka selagi boleh, bawa mengelilingi dunia dan tunaikan apa saja impian mereka sebab saya pernah mengecewakan mereka suatu ketika dulu.
InshaAllah saya akan tebus kekecewaan mereka hingga akhir hayat. Selain ibu bapa, suami, keluarga besar dan Coway adalah kesayangan saya yang menjadi pemangkin untuk bangkit jika saya berada dalam situasi mencabar.”

Mengulas lanjut kerjaya terkini yang ternyata mengubah taraf hidup, Aishah berkata bidang ini banyak mengajar dirinya mengenai erti kehidupan.
Coway telah banyak mengubah diri, akhlak, cara berfikir dan taraf kehidupan saya. Saya dah jumpa bermacam-macam ragam manusia dengan pelbagai latar belakang dan pemikiran sebagai pelanggan dan juga pasukan jualan. Berkomunikasi dan membimbing untuk capai impian mereka merupakan semangat saya.
Ada di antara mereka yang berpendidikan dan berjawatan tinggi juga orang kurang upaya termasuk yang lumpuh serta tidak diberi peluang untuk bekerja di luar sana. Jadi saya bertekad untuk membantu lebih ramai orang untuk mengubah hidup.
Ini tak dapat dilakukan jika saya tidak berada di dalam bidang ini. Melihat kegigihan dan kejayaan mereka merupakan satu kepuasan yang tidak dapat saya nyatakan.

Persahabatan, kesempatan dan perkenalan ini sangat bermakna buat saya melebihi harta dan wang ringgit. Ramai yang memandang rendah pekerjaan kami sebagai jurujual, namun kerjaya inilah yang banyak melatih individu menjadi seorang yang lebih cekal, kuat, tabah dan sabar menghadapi kehidupan.
Sebagai jurujual, pelbagai rintangan perlu dihadapi. Berhadapan dengan pelanggan yang cerewet dan panas baran banyak mengubah saya menjadi manusia yang lebih tenang dan professional. Dimarah dan diherdik kerana kelewatan pemasangan atau kerosakan mesin antara perkara yang mendewasakan saya.
Berdepan dengan pasukan yang memberontak juga menjadikan saya pemimpin yang lebih berhati-hati mengenai perasaan ahli pasukan saya. Saya lebih menghargai dan menyayangi setiap daripada mereka. Saya percaya kepercayaan itu datang dari kasih sayang.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bijak Dan Berkuasa! Kenali 10 Wanita Paling Berpengaruh Di Dunia!

dunia sedang menyaksikan bagaimana acuan tradisional tentang orang yang akan mempengaruhi kita sedang diubah. Hari ini, wanita merupakan golongan yang penting dalam membuat keputusan di dunia.
Ungkapan peribahasa tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia sebenarnya ialah satu realiti yang tidak boleh disangkal. Datang dari pelbagai latar belakang, wanita-wanita ini mempunyai naluri yang kuat dan menjadi orang yang berpegaruh di kawasan masing-masing.
Memandangkan sumbangan besar yang dibuat oleh wanita-wanita ini, senarai di bawah ini dianggap sama sekali tidak mengikut tahap pengaruh dan kepentingan mereka:
1. Hillary Rodham Clinton

Beliau ialah Setiausaha Negara Amerika Syarikat sekarang. Walaupun beliau telah kalah dalam pencalonan sebagai presiden Parti Demokrat pada tahun 2008 kepada Barack Obama, beliau terus menjadi wanita yang paling berpengaruh pada abad ini.
Beliau telah membawa pelbagai inisiatif dan kempen politik termasuk kejayaan program kepimipinan dalam pembaharuan sistem pendidikan di Arkansas. Beliau berkhidmat sebagai Wanita Pertama Amerika Syarikat selama 10 tahun sepanjang suaminya Bill Clinton berkhidmat sebagai Presiden.
Beliau kemudiannya menjadi Senator wanita pertama mewakili New York pada tahun 2000. Beliau dipilih semula ke jawatan yang sama pada tahun 2006. Dalam pilihanraya presiden tahun 2008, beliau memenangi lebih banyak perwakilan berbanding wanita-wnaita lain dalam sejarah Amerika Syarikat.
Walaupun kalah kepada Barack Obama, beliau merupakan bekas Wanita Pertama yang pernah berkhidmat dalam cabinet presiden. Beliau berada di kedudukan yang tinggi sebagai ahli kabinet hari ini dengan sokongan beliau yang padu terhadap pengukuhan hubungan diplomatik, dan kemahiran berpidato yang ketara.
2. Benazir Bhutto

Benazir Bhutto merupakan anak perempuan bekas Perdana Menteri Pakistan, mendiang Zulfiqar Ali Bhutto. Bapanya seorang pemimpin yang diraikan rakyat Pakistan tetapi telah dihukum gantung. Benazir Bhutto mula muncul di arena politik global apabila beliau mengambil alih tampuk parti nasional bapanya (Parti Rakyat Pakistan).
Dalam perjuangan yang berterusan sepanjang hidupnya, beliau telah menganjur dan menggerak sokongan untuk kaumnya dan akhirnya beliau menjadi perempuan pertama untuk menyandang jawatan Perdana Menteri Republik Islam itu sebanyak dua kali.
Dibuang dalam lewat tahun 1990, beliau kembali berjuang di landskap politik Pakistan yang huru-hara untuk menggerak semula rakyat jelata. Walau bagaimanapun, beliau terbunuh dalam serangan pengganas pada tahun 2007 ketika melawat sekumpulan besar penyokongnya di Rawalpindi.
Ini telah menyebabkan kejutan di seluruh alam politik global yang menganggap beliau sebagai seorang ahli politik legenda dan seorang pemimpin yang mengutamakan hubungan diplomatik dan sentiasa berusaha untuk menegakkan demokrasi dan memperkasakan wanita.
3. Sonia Gandhi

Beliau adalah anak kepada Presiden Kongres Kebangsaan India yang merupakan parti politik paling popular di India. Bapanya dilahirkan di Itali. Parti tersebut dipengerusikan selama 55 tahun oleh ahli-ahli keluarga Nehru.
Sonia Gandhi terlibat dalam bidang politik selepas kematian suaminya, mendiang Rajiv Gandhi iaitu bekas Perdana Menteri India. Beliau terkenal dari segi kedudukan dan pengaruh dalam politik India yang merupakan satu pencapaian yang hebat untuk mewakili parti kepada penduduk pelbagai agama dan budaya.
Beliau telah dua kali dicalonkan oleh majalah dunia seperti Forbes dan Times sebagai salah seorang wanita yang paling berpengaruh tahun ini.
4. Condoleezza Rice

Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat ini merupakan seorang profesor, diplomat, penulis dan juga berkhidmat sebagai pakar keselamatan Negara. Peranan beliau di kalangan orang-orang yang berpengaruh dalam bidang membuat dasar amatlah kuat.
Beliau adalah Setiausaha Negara perempuan yang pertama yang berbangsa Afrika-Amerika dan pernah berkhidmat sebagai Penasihat Keselamatan Kebangsaan di bawah pemerintahan George W. Bush.
Penekanan beliau untuk menyokong kerajaan di seluruh dunia yang dipilih secara demokrasi dan usaha untuk keamanan di Timur Tengah, yang dikenali sebagai Dasar Transformasi telah dihalang oleh golongan penyokong kerajaan Amerika di pelbagai kerajaan autoritarian seperti Mesir dan Arab Saudi.
Semasa memegang jawatan sebagai Penasihat Keselamatan Negara kepada Presiden Bush, beliau menerima kritikan ke atas dasar peperangan di Iraq dan Afghanistan. Beliau kini telah kembali ke Universiti Stanford sebagai seorang profesor dalam bidang Sains Politik.
Beliau terus mempengaruhi minda dan dasar-dasar bukan sahaja pelajar tetapi ramai pembuat dasar yang datang dan merujuk kepada beliau mengenai pelbagai isu keselamatan nasional.
5. Oprah Winfrey

Seorang penggerak, mogul media, dan penerbit majalah yang mencapai kemasyhuran melalui program bicarawara Oprah di saluran telivisyen. Memenangi pelbagai anugerah dan beliau membincangkan segala isu dari hal peribadi kepada isu-isu sosial.
Beliau sangat terkenal sebagai individu yang boleh mengajukan kepada orang ramai pelbagai soalan dan pendapat politik dengan cara yang amat berhemah dan bertanggungjawab.
Disenaraikan sebagai salah seorang individu yang berbangsa Afrika-Amerika terkaya dan telah berkali-kali menyandang gelaran individu berbangsa Afrika-Amerika yang paling berpengaruh oleh beberapa sumber. Beliau telah merevolusikan suatu bentuk komunikasi dan pengakuan yang lebih mesra melalui media.
Setelah lebih satu dekad bersiaran, rancangan bicarawaranya masih terus popular dan mempunyai pengaruh yang agak besar melalui aktiviti-aktiviti amalnya dan pengaruh dalam lingkungan politik termasuk berkempen untuk Presiden Barack Obama.
6. Permaisuri Rania dari Jordan

Beliau telah dikurniakan dengan kecantikan dan dikenali sebagai salah seorang wanita yang paling cantik di dunia. Beliau juga menjadi salah seorang wanita paling berpengaruh di dunia Arab.
Sebagai isteri kepada Raja Jordan, Permaisuri Rania adalah seorang aktivis yang mempopular pendidikan untuk semua dan telah terlibat dalam inisiatif untuk memperkasa wanita dan meningkatkan golongan celik huruf.
Usaha-usaha beliau untuk melibatkan diri dengan belia dan menyatukan perjuangan agama Islam dan negara beliau, melalui media seperti saluran YouTube sendiri, telah membuat beliau sangat popular bukan sahaja kepada belia di negara-negara Islam tetapi juga di seluruh dunia. Beliau juga berperanan sebagai ikon fesyen dengan cara tersendiri.
7. Shirin Ebadi

Peguam Iran yang telah dianugerahkan Anugerah Nobel Keamanan untuk meneruskan perjuangan keadilan dan hak asasi manusia di negara itu. Beliau terkenal sebagai salah seorang individu yang sentiasa berjuang menentang Rejim Islam untuk mengekalkan serpihan yang tinggal dalam sistem keadilan di Iran selepas Revolusi 1979.
Dalam buku beliau menulis penglibatan dan perjuangan menentang pihak berkuasa untuk melindungi kanak-kanak dan wanita yang didera, dan penglibatan beliau melawan kes-kes terhadap kerajaan.
Beliau telah berkorban untuk mengenepikan keselamatan peribadinya demi semangat nasionalisme dan ini telah meletakkan beliau di tengah-tengah masa depan Iran seperti yang disebut oleh ramai orang. Beliau memenangi Hadiah Nobel Keamanan sebagai penghargaan.
8. Christiane Amanpour

Kesediaan beliau melaporkan isu-isu dari tempat yang paling berbahaya dan yang paling kontroversi telah melonjakkan Christiane Amanpour untuk menyandang jawatan Ketua Perunding CNN Antarabangsa.
Pujian yang kritikal dan meluas diberi atas ulasan keras beliau terhadap isu politik di Timur Tengah. Analisis kajian semula terhadap proses damai yang dibuat oleh beliau menerima tentangan hebat. Sejak memulakan kerjaya dengan CNN, beliau diiktiraf untuk membuat laporan dari pelbagai zon perang termasuk Bosnia.
Selain itu, beliau juga dilanda kontroversi yang berkaitan dengan wawancara beliau dengan tokoh-tokoh seperti Yasir Arafat dan tokoh politik utama dari negara Iran. Iran merupakan negara asal yang beliau tinggalkan semasa kecil bersama keluarga.
9. Indira Nooyi

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PepsiCo , Indira Nooyi telah memenangi pencalonan yang berulang-ulang dalam senarai Wanita Paling Berkuasa di dunia. Beliau bertanggungjawab untuk menaplikasi kemahiran perniagaan beliau kepada penubuhan jenama seperti Taco Bell dan KFC.
Antara lain, Indira Nooyi telah membawa kepada peningkatan yang ketara dalam margin keuntungan syarikat itu. Merupakan bangsa India asli yang pertama menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat.
10. Cristina Fernandez De Kirchner

Presiden wanita pertama Argentina, Kirchner memimpin dan menguruskan negara itu dengan cara luar biasa dan menarik semasa pergolakan politik dan ekonomi . Beliau berjaya mengurus dan membawa Argentina ke tahap ledakan ekonomi.
Pada masa itu, Argentina mencatat rekod ekonomi yang paling pesat berkembang. Walaupun begitu, kerajaan beliau menerima kritikan tegar kerana tidak menangani isu rasuah dan tidak meguruskan masalah pengangguran dan kemiskinan.
Dia masih terus menjadi seorang tokoh politik dalam liga tersendiri dan telah membuat sumbangan yang patut dipuji dengan dasar awam Argentina.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


