Selalu Hadap Gajet Punca Muka Jadi Kusam & Nampak Tua, Betul Ke?

1819

Kini setiap orang mempunyai handphone untuk keperluan harian. Bukan sahaja generasi milenium tidak boleh hidup tanpa gajet malah golongan veteran juga tidak ketinggalan.

Gajet sudah menjadi item keperluan yang akan di bawa ke mana-mana saja. Sebelum tidur mesti meneliti Instagram, Facebook, Snapchat atau mengedit gambar. Malah sebaik sahaja bangun tidur terus meneliti notifikasi sebelum mula bersenam.

Tidak ada salahnya gila gajet tetapi tahukah anda kebiasaan terlalu menghadap gajet boleh menyebabkan kulit kusam dan cepat tua. Tidak percaya? Perhatikan apa yang dilakukan secara tidak sengaja bersama gajet dan solusi mengatasi masalah cepat tua dengan gajet.

(a) Terlalu lama menunduk

Ketika melayari Internet atau melihat sosial media di telefon pintar, anda sering menunduk. Jika menunduk terlalu lama dan dilakukan saban hari selama berjam-jam akan membuat kulit leher berkedut dan membentuk lipatan. Jika umur masih terlalu muda tetapi kulit leher sudah berlipat dan berkedut pasti mengundang rasa malu dan hilang keyakinan diri. Bukan itu sahaja tabiat ini mengundang penampilan kurang menarik, otot leher menjadi kaku dan mata cepat penat.

Apa yang boleh dilakukan:

Kerap membuat regangan di bahagian leher, muka dan mata. Jangan biarkan otot di kawasan sekitar ini kaku dan penat. Selain itu, boleh memelihara kecantikan kulit leher dengan menggunakan produk khusus untuk leher. Anda boleh menggunakan topeng atau mask di kawasan leher untuk meningkatkan jumlah sel-sel untuk regenerasi kulit serta meningkatkan kadar lembapan kulit leher. Terdapat juga ekstrak buah-buahan yang boleh merangsang pengeluaran kolagen di bahagian kulit leher.

(b) Kemunculan mata panda

Apa yang sering dilakukan ketika tersekat di jalan raya? Selfie, edit gambar atau bermain candy crush? Jangan tipu diri sendiri, paling tidak anda akan stalk Instagram rakan atau artis pujaan. Apa yang dilakukan tidak baik untuk mata kerana daya tumpu diarah kepada gajet yang kecil itu. Terlalu lama menatap skrin telefon pintar akan membuat ketajaman mata semakin menurun, mata cepat kering, merah dan penat. Tahukah anda apabila mata menjadi kering akan mempengaruhi kelembapan kulit di sekitar mata.

Gelombang biru terpancar melalui telefon pintar atau gajet lain boleh mengganggu ritma tidur tanpa sedar. Berjaga malam sambil memaksa mata memberi tumpuan pada skrin gajet akan mewujudkan mata panda.

Apa yang boleh dilakukan:

Pastikan mata berehat selepas 20 minit menghadap gajet. Anda boleh juga melakukan senaman mata seperti melihat pokok-pokok hijau yang paling jauh di mata. Selain itu jangan lupa menyapu krim mata untuk memberi lembapan di kawasan kulit sekitar mata. Istilah mata panda apabila kawasan kulit sekitar mata menghitam, kulit kering dan berkedut. Hyaluronic acid (HA) boleh membantu memberi lembapan dan mengurangkan kedutan.

(c) Skrin gajet punca jerawat

Kadang-kadang sukar dipercayai bahawa gajet menjadi punca jerawat. Tetapi ini adalah hakikat sebenarnya. Anda menyentuh skrin telefon pintar atau gajet lain ratusan kali sehari dan ia diletakkan di pelbagai tempat malah ada yang menjadi teman setia ketika di dalam tandas. Gajet jarang sekali dibersihkan atau nyahbakteria, setuju kan? Ditambah lagi dengan mulut manusia penyumbang utama bakteria. Kombinasi dua elemen ini memindahkan bakteria ke wajah dan jerawat akan muncul.

Apa yang boleh dilakukan:

Amalkan membersihkan skrin telefon pintar setiap hari. Anda boleh juga menghilangkan jerawat dengan membuat rawatan wajah khusus untuk membuang jerawat. Jika tidak mahu membuat rawatan di spa atau klinik boleh melakukan sendiri dengan membeli krim mengeringkan jerawat. Baca dengan teliti kandungan krim tersebut dan sesuai dengan jenis kulit. boleh juga menggunakan madu dan lemon untuk mengecutkan jerawat secara semula jadi.

JANGAN LUPA TEMU JANJI KITA.