Jerawat umpama ‘musuh tradisi’ terutama bagi wanita. Kemunculan jerawat sering membuatkan seseorang itu kurang keyakinan diri. Parut jerawat pula boleh meninggalkan kesan hitam dan tekstur kasar pada kulit.
Selebriti Hollywood tidak terkecuali. Mereka juga mengalami masalah jerawat. Biarpun tidak boleh hilang begitu sahaja, cara selebriti-selebriti ini boleh dijadikan panduan.
KENDALL JENNER
Kendall Jenner sendiri mempunyai cara untuk menangani masalah jerawat dan mengekalkan kesihatan kulit wajahnya setiap hari. Kaedahnya sangat mudah dan semula jadi.
Ads
Kendall kerap melakukan senaman ringan, makan makanan yang sihat, mengelakkan gula-gula, dan minum banyak air. Bagi Kendall, untuk mendapatkan wajah yang sihat dan cerah adalah dengan minum banyak air.
VICTORIA BECHKAM
Victoria Beckham percaya, untuk memiliki kulit yang cantik adalah menyuburkannya dari dalam. Selebriti dan model terkenal ini mengamalkan makan salmon setiap hari. Hasilnya, kulit tidak mengalami masalah jerawat yang serius.
Ads
Victoria memulakan tabiat sihat ini selepas berjumpa dengan pakar dermatologi, Dr Harold Lancer yang turut menguruskan keluarga Kardashian. Salmon kaya dengan asid lemak omega-3, yang dapat membantu menyuburkan kulit, membersihkan pori-pori dan mengurangkan keradangan.
MILEY CYRUS
Penyanyi ‘Wrecking Ball’ ini memilih makanan organik untuk kesihatan dan kebersihan wajahnya.
Bukan itu sahaja, Miley juga mengambil ubat daripada doktor bagi menghilangkan jerawat di mukanya.
Ads
NATALIE PORTMAN
Sejak menjadi vegan, Natalie mengakui kulit wajahnya tidak pernah berjerawat. Jika anda ingin mencubanya, lakukan perlahan-lahan.
Bila sudah terbiasa, anda boleh ke peringkat seterusnya iaitu menjadi vegetarian. Kemudian menjadi vegan seperti Natalie Portman.
Kredit Foto: Instagram Ru
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cantiknya Mulan Jameela, dah macam patung muslimah bergerak! Isteri Ahmad Dhani ini cukup bertuah kerana dikurniakan raut wajah sempurna dan sejuk mata memandang. Lebih-lebih lagi sejak dia mengenakan hijab setahun yang lalu. Yang pasti kedatangan bulan Mei dan Ramadan tahun ini kembali menerbitkan nostalgia indah buat Mulan kerana pada detik inilah tahun lalu… dia mendapat hidayah Allah SWT untuk berhijab. Syukur alhamdulillah!
Memetik kenyataan Mulan ketika ditemu bual Liputan 6, aktres berusia 40 tahun ini memutuskan untuk memakai kerudung kepala sebaik pulang dari Palestin tahun lepas… iaitu beberapa hari sebelum Ramadan menjelang. Katanya, niat berhijab sudah lama terdetik di hati apatah lagi suami sudah lama menanti untuk dia berubah.
“Berhijab dari tanggal 14 Mei. InshaAllah, berkekalan. Niat sudah lama sebenarnya cuma masih on off. Mahu terus berhijab tapi masih ragu-ragu. Suami dah lama luah hasrat nak tengok saya bertudung tapi apakan daya, hati belum diketuk hidayah Allah. Sejujurnya rasa mahu pakai hijab lepas pulang dari Palestin. Sembilan hari berada di sana dan berhijab, saya rasa tenang dan selesa saja.
Di sana saya belajar banyak perkara dan niat untuk berhijab bukan kerana Palestin semata-mata. Memang hati terdetik mahu pakai hijab ketika berada di sana lagi tapi paling utama adalah hidup di dunia ini singkat dan bukan selama-lamanya. Ada kehidupan lain yang sedang menanti.”
Jika sebelum ini peminat mengenali peribadi Mulan kerana penampilannya yang seksi, kini kompas hidupnya berubah 360 darjah. Baju yang selama ini ‘melekap’ di tubuh kini longgar tanpa mengikut bentuk badan, gaya tudungnya pula labuh dan mematuhi syariat Islam dan lengkap mengenakan stokin kaki dan tangan. Menepati ciri-ciri wanita muslimah sebenar. Untung Ahmad Dhani.
Mulan yang merupakan bekas penyanyi kumpulan Ratu pernah menggegarkan industri muzik di Indonesia dan Malaysia menerusi lagu ‘berhantu’ mereka Teman Tapi Mesra. Kalau diminta untuk menyanyikan semula lagu tersebut pun mesti ramai yang masih mengingati setiap bait dan lirik lagu berkenaan. Memang legend! Bersandarkan bakat nyanyian dan wajah jelitanya, tidak hairanlah nama Mulan melonjak naik… sebaris dengan nama-nama penyanyi popular di Indonesia.
Bagaimanapun sekitar tahun 2011, nama Mulan terpalit dengan kontroversi gara-gara penceraian rakan baik dan teman duetnya, Maia Estianty. Dia dikatakan menjadi punca keretakan rumah tangga Maia dan Ahmad Dhani yang kini menjadi suaminya.
Difahamkan Mulan dan Ahmad Dhani telah sah bergelar suami isteri namun menyembunyikan pernikahan mereka daripada pengetahuan peminat. Dakwaan tersebut bertiup kencang apabila khalayak mula menyedari perubahan diri Mulan yang dikatakan sedang hamil anak Ahmad Dhani.
Shafeea, anak perempuan sulung Mulan dan Ahmad Dhani yang kini berusia 8 tahun manakala seorang lagi anak mereka ialah Ahmad Syailendra Aerlangga, tiga tahun. Sebelum bernikah dengan Ahmad Dhani, Mulan pernah berkahwin dengan Harry Nugraha dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Tiara dan Daffi.
Foto: Instagram Mulan Jameela
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam kesibukan warga net dan masyarakat bercerita tentang keindahan ‘Wedding of the Year’ Mira Filzah dan Wan Emir Astar, penampilan ibu kepada pengantin perempuan turut tidak terkecuali menjadi bualan ramai. Apatah lagi, sehari sebelum berlangsungnya majlis pernikahan selebriti popular tersebut… Faizatul Akmar Dato’ Hisan baru sahaja meraikan perkahwinan anak bongsu yang juga adik kepada Mira Filzah iaitu Aina Fadhilah.
Pastinya bulan September menjadi momen bermakna bagi ibu tiga anak perempuan cantik ini kerana selain kesemua cahaya matanya sudah pun bergelar isteri, beliau dan suami turut menerima dua orang anak menantu sekaligus!
Mendekati ratu hati Mira Filzah ini, wanita hebat bernama Faizatul Akmar Dato’ Hisan sememangnya menjadi sumber inspirasi buat ketiga-tiga anak. Mana tidaknya, bukan hanya dikurniakan rupa paras menarik, isteri Badioezaman Ab Khalik ini juga seorang wanita yang berpendidikan tinggi dan cukup anggun berhijab.
Mengintai laman Instagram Faizatul Akmar yang memiliki lebih 40 ribu followers, terserlah sisi penyayang beliau sebagai ibu dan isteri. Setiap perkongsiannya juga lebih banyak berkisar tentang aktiviti keluarga tersayang.
6 Jun lalu genap 54 tahun usia Faizatul Akmar. Biarpun sudah meniti umur lebih separuh abad dan bergelar nenek namun kejelitaan wanita berkulit cerah ini kekal memukau. Tidak hairanlah Mira Filzah mempunyai wajah lembut dan ayu. Mewarisi gen cantik ibunda tersayang rupanya! Kalau selama ini peminat memuji kemulusan kulit wajah Bintang Paling Popular tersebut, lihat sahaja kulit bersih dan gebu ibunya.
Teringat kata-kata Mira yang mengaku sangat rapat dengan ibu tersayang berbanding adik-beradik lain. Dalam temu bual bersama Nona tidak lama dulu, Mira mendedahkan, “Mira dan mak very direct. Kalau rasa nak tanya apa pun Mira akan tanya sebab Mak very open… very transparent. Tak ada benda yang Mira tak tahu dan tak ada benda yang mak tak tahu pasal Mira. Even mak pun ada bercerita tentang dirinya waktu muda-muda.”
Yang pasti, Faizatul Akmar bukan calang-calang wanita. Selain sibuk mengasuh dan mengurus keluarga, beliau juga seorang wanita bekerjaya dan menyandang jawatan sebagai Ketua Eksekutif di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM). Semestinya beliau mempunyai kredibiliti kepimpinan yang tinggi sampai diberi kepercayaan mentadbir institusi pendidikan berkenaan. Kagum!
Terharu dan bersyukur atas kurniaan Allah dengan perkahwinan dua puteri tersayang baru-baru ini, Faizatul Akmar turut menitipkan pesanan indah berikut kepada anak dan 3 anak menantu.
“Alhamdulillah syukur kepada Allah, segala puji bagi Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam. Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Dengan izin dan rahmatNYA telah
melengkapkan keluarga kami. Dari 3 anak perempuan ENGKAU telah mengurniakan kami 3 anak lelaki serta diserikan dengan kehadiran seorang cucu.
Terima kasih Ya Allah, kurniaanMU amat besar kepada hambamu yang kerdil ini. Moga ENGKAU terus melindungi kami, membimbing kami dan menunjukkan jalan yang lurus kepada kami.
Kepada anak-anak mak Ain Farhanah, Mira Filzah, Aina Fadhilah serta anak-anak lelaki mak Izzat Hamdan, Wan Emir Astar, Mohamad Afif… mak abah sayang kalian. Jaga agama, jaga diri dan jaga keluarga. Mak doakan semua anak-anak mak bahagia dunia dan akhirat.
Pesanan mak, bahagia bukan memiliki segalanya, tapi kebahagiaan sebenar apabila KITA MENCINTAI APA YANG KITA MILIKI dan layari bahtera rumah tangga dengan sederhana kerana RUMAH TANGGA YANG SEMPURNA ADALAH RUMAH TANGGA YANG TIDAK MENGHARAPKAN KESEMPURNAAN.”
Moga segala kejayaan dan asuhan sempurna Faizatul Akmar dan suami turut menjadi inspirasi buat semua. Juga, rumah tangga ketiga-tiga anak mereka berkekalan hingga ke syurga.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penampilan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sememangnya menjadi perhatian rakyat. Berikut Nona kongsikan empat Raja Permaisuri Agong yang anggun menawan dengan penampilan berhijab baginda.
Raja Permaisuri Agong Ke-16
Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke-16 Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bukan hanya gemar memasak bahkan cukup prihatin dengan isu masyarakat terutamanya melibatkan golongan susah dan kesuburan wanita. Disebabkan itu, Tunku Azizah berkenan menjadi Pengasas dan Presiden Seumur Hidup Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).
Tunku Azizah Aminah Maimumah Iskandariah merupakan puteri ketiga kepada pasangan Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj ibni Al-Marhum Sultan Ismail bersama isterinya Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah. Dilahirkan di Istana Stulang, Johor Bahru, kekanda lelakinya kini ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Hasil perkahwinan bersama Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baginda dikurniakan empat orang putera dan dua puteri iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, KDYMM Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, YAM Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Tunku Azizah mendapat pendidikan awal di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru dan meneruskan pendidikan ke peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah. Selain itu, baginda juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan memegang pelbagai jawatan bagi persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Gaya hijab Tunku Azizah juga menjadi ikutan ramai ketika ini.
Raja Permaisuri Agong ke-14
Seri Paduka Baginda Tuanku Hajah Haminah binti Hamidun merupakan Sultanah Kedah dan Raja Permaisuri Agong yang ke-14. Baginda dilahirkan pada 15 Julai 1953 di Bagan Serai, Perak dan berkahwin dengan KDYMM Seri Paduka Baginda Almarhum Sultan Abdul Halim pada 25 Disember 1975.
Tuanku Hajah Haminah merupakan anak kepada pasangan Haji Hamidun Bin Taib dan Hajah Isma Muhammad dan dibesarkan di Kampung Matang Jelutong, Bagan Serai, Perak.
Baginda mendapat gelaran Che Puan Kedah, sehinggalah pada 9 Januari 2004 apabila baginda ditabalkan sebagai Sultanah Kedah. Seperti Tuanku Bainun, Tuanku Hajah Haminah antara Raja Permaisuri Agong dari golongan kebanyakan.
Raja Permaisuri Agong ke-13
Seri Paduka Baginda Tuanku Nur Zahirah ialah Raja Permaisuri Agong ke-13 yang dilahirkan pada 7 Disember 1973. Baginda melangsungkan perkahwinan dengan Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 28 Mac 1996.
Baginda bertemu jodoh dengan Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada 28 Mac 1996 di Kuala Terengganu dan dilantik menjadi Raja Permaisuri Agong pada 13 Disember 2006 berikutan perlantikan KDYMM Seri Paduka Baginda Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.
Tuanku Nur Zahirah juga antara Raja Permaisuri Agong yang berasal dari golongan rakyat biasa.
Raja Permaisuri Agong ke-11
Seri Paduka Baginda Tuanku Siti Aishah dilahirkan pada 18 November 1971 dan melanjutkan pelajaran dalam bidang perbankan di UiTM Kampus Kota Bharu. Baginda merupakan Raja Permaisuri Agong kesebelas apabila KDYMM Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-11 pada 26 April 1999.
Baginda berkahwin dengan Sultan Selangor pada 3 Mei 1990 ketika berusia 19 tahun dan dilantik sebagai Raja Permaisuri Agong pada 26 April 1999. Tuanku Siti Aishah ialah Raja Permaisuri Agong termuda pada usia 28 tahun.
Bagaimanapun baginda tidak dapat menghabiskan tempoh lima tahun sebagai Raja Permaisuri Agong kerana DYMM Tuanku Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj mangkat pada 21 November 2001. Tuanku Siti Aishah sempat menjadi Raja Permaisuri Agong selama tempoh dua tahun enam bulan sahaja. Baginda juga menjadi Raja Permaisuri Agong pertama yang memakai hijab dan berasal dari golongan kebanyakan.
Tuanku Siti Aishah pernah menjadi penghias Majalah Nona pada Ogos 2013.
Sumber: Warisan Raja & Permaisuri Melayu
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lama tak dengar khabar pakar motivasi popular ini. Nama Dato' Dr Fadzilah Kamsah tidak lagi asing dalam dunia motivasi. Kepetahan dan ilmu figura ini menyampaikan ceramah dengan gaya tersendiri sekitar era 90an masih 'melekat' di jiwa penonton hingga ke hari ini.