
Nona Pinktober 2026 menyatukan barisan selebriti popular, atlet negara dan lapan rakan amal menerusi kejohanan Nona Pickleball: Pinktober Smash 2026 demi meningkatkan kesedaran kanser payudara. Berlangsung pada 17 Oktober lalu di Brio Social Club, IPC Shopping Centre, Mutiara Damansara, acara anjuran Nona dengan kerjasama seeNI ini mengangkat mesej ‘Setiap Smash Membawa Harapan’, sekali gus membuktikan bahawa semangat kesukanan mampu menjadi wadah memperjuangkan kesihatan dan kesejahteraan wanita.
Lebih bermakna, 100 peratus dana kemenangan disalurkan kepada rakan amal atau hospital yang diwakili setiap pasangan beregu. Inisiatif bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara sepanjang Oktober ini bukan sekadar meraikan gaya hidup aktif, malah menggalakkan pengesanan awal serta menyemai keprihatinan terhadap wanita yang sedang berjuang melawan penyakit tersebut.
Lokasi gelanggang Brio Social Club yang terletak di aras 2, IPC Shopping Centre, Mutiara Damansara dibanjiri pemain dan tetamu yang berpakaian sukan mengikut warna tema iaitu putih dan merah jambu. Turut memberikan sokongan, rakan amal utama iaitu Breast Cancer Welfare Association Malaysia (BCWA) membawa barisan jururawat terlatih untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di kawasan yang disediakan.









Nona Pinktober 2026 Himpun Selebriti Popular Demi Misi Amal
Gelanggang Nona Pinktober 2026 bertukar menjadi medan solidariti apabila personaliti terkenal Yasmin Hani, Sazzy Falak, Daphne Iking, Nadia Annuar, Dayah Bakar dan Dahlia Rizal tampil menyahut cabaran demi tujuan murni.
Turut beraksi ialah penyanyi Nas Adila, seorang pejuang kanser payudara tahap tiga, serta atlet negara Syaidatul Afifah. Kehadiran mereka memperlihatkan bahawa kekuatan wanita bukan hanya diukur melalui kemenangan, tetapi juga keberanian menyokong perjuangan sesama insan. Menggamatkan suasana, kehadiran Fiza Frizzy selaku hos merancakkan lagi acara kejohanan amal sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara.





Acara kejohanan amal itu turut diserikan dengan penampilan istimewa Miss Universe Malaysia 2026, Eunice Wong, bersama Pengarah Kebangsaan Miss Universe Malaysia, Ayu Omar. Antara yang diperjuangkan adalah pemerkasaan kesihatan wanita yang dilihat bertepatan dengan hasrat Eunice sebagai ratu cantik dalam mendekati lebih ramai wanita di Malaysia.
Dalam persalinan bertemakan merah jambu dan sporty casual, setiap peserta membawa semangat positif bahawa kesedaran kesihatan boleh dipupuk melalui pendekatan yang segar, inklusif dan dekat dengan masyarakat.



Nona Pinktober 2026 Jalin Kerjasama Dengan Rakan Amal
Menjadikan setiap perlawanan lebih bermakna, kejohanan ini menawarkan RM5,000 untuk juara, RM3,000 bagi naib juara dan RM2,000 kepada pemenang tempat ketiga, selain lima hadiah saguhati bernilai RM500 setiap satu.
Sebanyak lapan organisasi kebajikan dan institusi kesihatan terlibat dalam menjayakan inisiatif ini, iaitu:
- Breast Cancer Welfare Association Malaysia (BCWA)
- National Cancer Society Malaysia (NCSM)
- Majlis Kanser Nasional (MAKNA)
- Pink Ribbon Wellness (L) Foundation
- Breast Cancer Foundation (BCF)
- Cancer Research Malaysia
- Hospital Picaso
- Society for Cancer Advocacy and Awareness Kuching (SCAN)
Penglibatan organisasi ini memperkukuh usaha advokasi, pendidikan kesihatan dan sokongan kepada komuniti pesakit, sekali gus membuktikan bahawa perjuangan menentang kanser payudara memerlukan komitmen kolektif pelbagai pihak.


Penghargaan Buat Rakan Penaja Nona Pinktober 2026
Kejayaan penganjuran ini turut didukung oleh kerjasama strategik jenama yang berkongsi aspirasi sama dalam memperkasakan wanita.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada Brio Social Club selaku rakan lokasi, serta LARRIE dan TOUJOURS ADVANCED sebagai rakan penaja atas sokongan dan komitmen menjayakan acara penuh makna ini.
Penghargaan istimewa turut ditujukan kepada barisan rakan penaja hadiah yang menyempurnakan pengalaman peserta dan tetamu:
- Lancôme — @lancomeofficial
- Embryolisse Malaysia — @embryolisse_my
- Himalaya Wellness Malaysia — @himalayawellnessmy
- Hospital Picaso — @hospitalpicaso
- Protech XP Pickleball — @protech_xp_pickleball
- MyHomeSoy — @myhomesoy
Sokongan jenama-jenama ini melangkaui nilai material, sebaliknya mencerminkan keprihatinan korporat terhadap kesejahteraan masyarakat serta komitmen menyokong perjuangan kemanusiaan.
Memasuki usia 40 tahun sejak diterbitkan pada 1986, Nona terus memperkukuh peranannya sebagai platform yang meraikan kecemerlangan, inspirasi dan pemerkasaan wanita Malaysia.
Menerusi kempen Pinktober, komitmen tersebut diterjemahkan melalui perkongsian kisah pejuang kanser, informasi kesihatan dan galakan supaya wanita lebih peka terhadap perubahan tubuh serta mendapatkan pemeriksaan sewajarnya.
Sesungguhnya, kesedaran bukan sekadar mengenakan rona merah jambu atau menyuarakan sokongan. Ia menuntut tindakan, empati dan keberanian untuk saling menguatkan.








Kerana di sebalik setiap pukulan, ada harapan yang ingin disampaikan. Di sebalik setiap perjuangan, ada kehidupan yang wajar dipertahankan.
Artikel berkaitan: Nona Pinktober 2026, Tingkat Kesedaran & Pengesanan Awal Kanser Payudara

sekarang!

